SPRM dan UiTM bekerjasama perkasa sistem pelaporan kewangan negara

PENYELIDIKAN pencegahan rasuah melalui Pemerkasaan Pelaporan Kewangan dan Amalan Audit: Kajian terhadap Rangka Kerja Kawal Selia Pelbagai Agensi di Malaysia yang dilaksanakan oleh Universiti Teknologi MARA (UiTM) di bawah Geran Penyelidikan Governans, Integriti dan Antirasuah kini di peringkat akhir pelaksanaan.

Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor, Mohd Azwan Ramli berkata, kajian itu meneliti landskap semasa pelaporan kewangan dan amalan audit di Malaysia dengan mengenal pasti kelemahan dalam kerangka kawal selia yang berpotensi membuka ruang kepada manipulasi kewangan dan perlakuan rasuah.

Menurutnya, selain itu, penyelidikan turut menilai amalan terbaik antarabangsa serta mencadangkan satu rangka kerja bersepadu bagi memperkukuh koordinasi antara agensi kawal selia.

MOHD Azraai Md Aznan (kanan sekali) mempengerusikan sesi pembentangan di bilik mesyuarat Oasis, JANM, Putrajaya pada 23 Jun lalu. GAMBAR: SPRM

“Bagi kajian ini, Pengarah SPRM Selangor dilantik sebagai pakar rujuk dan penyelia manakala beberapa pegawai SPRM sebagai ahli pasukan penyelidik bagi menyumbang kepakaran serta memastikan hasil kajian lebih praktikal, relevan dan selari dengan keperluan semasa.

“Geran Penyelidikan Governans, Integriti dan Antirasuah ini diselaraskan oleh Bahagian Perancangan Governans Nasional (BPGN) SPRM dalam usaha memperkukuh tadbir urus, integriti dan pencegahan rasuah di negara ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi membentangkan dapatan kajian yang dipengerusikan oleh Timbalan Akauntan Negara (Operasi), Jabatan Akauntan Negara Malaysia (JANM) Mohd Azraai Md Aznan di bilik mesyuarat Oasis, JANM pada 23 Jun lalu.

Mohd Azwan berkata, sesi pembentangan awal yang bertujuan mendapatkan pandangan pemegang taruh menerima maklum balas yang amat positif daripada pihak JANM, khususnya terhadap cadangan dikemukakan bagi meningkatkan ketelusan, akauntabiliti dan keberkesanan sistem pelaporan kewangan negara.

Katanya, hasil penyelidikan itu dijangka menjadi rujukan strategik kepada pembuat dasar dan agensi berkaitan dalam memperkukuh tadbir urus kewangan, memperkasa integriti institusi serta menyokong pelaksanaan inisiatif pencegahan rasuah yang lebih menyeluruh demi meningkatkan sistem penyampaian perkhidmatan negara.

Sementara itu, Mohd Azraai berkata, sesi pembentangan ini menjadi platform penting untuk melihat bagaimana agensi teras seperti JANM dan SPRM dapat bekerjasama dalam menyelaraskan rangka kerja pelaporan kewangan serta amalan audit.

Beliau berkata, matlamat utama perbincangan adalah bagi memastikan prosedur sedia ada menjadi lebih mampan, telus, efisien dan bebas daripada sebarang ruang manipulasi atau risiko rasuah.

JANM turut merakamkan ucapan penghargaan ke atas perkongsian input strategik dan pembentangan dapatan kajian oleh Profesor Dr Nor Farizal Mohammed selaku Ketua Penyelidik UiTM.

“Kajian yang signifikan ini disasarkan untuk diangkat ke peringkat tertinggi bagi menyokong pembentukan dasar negara melalui platform strategik kerajaan seperti Jawatankuasa Khas Kabinet Tatakelola Negara (JKKTN),” katanya.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img