IPD Seremban tunai hajat wanita sarat hamil mengidam naik kereta peronda polis

KEINGINAN luar biasa seorang wanita sarat hamil lapan bulan yang mengidam untuk menaiki kereta peronda polis (MPV) akhirnya menjadi kenyataan selepas hajatnya itu dipenuhi warga Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban.

Nurul Asyira Zakaria, 23, yang mengidam peluang berkenaan sejak usia kandungannya empat bulan diberikan kesempatan keemasan itu apabila dibenarkan menaiki MPV polis di IPD Seremban pada 16 Oktober lalu.

Suaminya, Huzairi Mohd Tozamri, 31, mengakui pada mulanya dia berasa buntu dan segan untuk menyuarakan keinginan ganjil isterinya itu kepada pihak berkuasa.

“Ia bukan perkara biasa yang wanita hamil mahukan. Bagaimanapun, mengenangkan isteri dijangka bersalin dalam masa terdekat, saya akhirnya memberanikan diri pergi IPD Seremban pada 16 Oktober lalu.

“Dalam keadaan berdebar-debar, saya menyatakan hasrat isteri kepada anggota polis yang bertugas di pondok pengawal IPD Seremban. Alhamdulillah, anggota di situ semuanya baik-baik malah membenarkan kami masuk. Kebetulan, ada anggota yang sedang berada dalam kereta peronda dan sudi membantu merealisasikan keinginan isteri,” katanya ketika dihubungi, lapor BH.

Menurut Huzairi, isterinya begitu teruja apabila diberikan peluang mengelilingi kawasan IPD Seremban di dalam kereta peronda polis berkenaan, selain tidak melepaskan peluang merakam detik manis itu menerusi foto dan video.

“Isteri cukup seronok malah tidak mahu keluar daripada kereta peronda berkenaan. Sepanjang masa dia asyik bercerita mengenai pengalaman itu dan ia berterusan sehingga kami pulang ke rumah.

“Dia cukup seronok hingga mahu menangis kerana terlalu gembira. Saya bersyukur apabila impian isteri tercapai,” tambahnya lagi.

Huzairi turut menzahirkan rasa penghargaan yang mendalam kepada seluruh warga IPD Seremban atas keperihatinan dan keprihatinan yang ditunjukkan.

Katanya, layanan mesra daripada para anggota berkenaan bukan sahaja berjaya menggembirakan isterinya, malah memberi satu kenangan indah yang akan terpatri selamanya buat pasangan berkenaan.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here