Isu politik tidak jejas hubungan jemaah menteri – Fahmi

MENTERI Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil yakin barisan Jemaah Menteri kekal profesional dan komited mempertahankan kestabilan politik negara, selain akan terus melaksanakan tugas serta tanggungjawab sehingga akhir penggal pentadbiran.

Beliau berkata, sebarang isu politik termasuk melibatkan keputusan pengampunan bersyarat terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak baru-baru ini tidak menjejaskan hubungan antara parti dalam gabungan itu terutamanya antara Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN).

“Alhamdulillah, kita nampak komitmen daripada semua parti komponen (untuk memastikan kestabilan), tak kiralah apa yang disebut dalam perhimpunan dan sebagainya… ini penting kerana untuk menarik kemasukan pelabur, mereka akan melihat dua perkara utama, iaitu kestabilan politik dan dasar,” katanya ketika menjadi tetamu dalam sebuah program audio siar, hari ini.

Fahmi juga berkata, dalam tempoh empat tahun ini, kerajaan berjaya membangunkan ekonomi sehingga pertumbuhan Keluaran Dalam Negeri Kasar mencecah angka yang begitu tinggi.

Pada masa sama, Pengarah Komunikasi PH itu berkata, parti berkenaan melihat perkenan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim untuk pengampunan bersyarat kepada Najib, yang juga bekas Presiden UMNO, sebagai keputusan dasar yang dibuat berlandaskan semangat Perlembagaan dan undang-undang negara.

“Ini bukan satu perkara bersifat dendam atau peribadi terhadap sosok tubuh seseorang yang bernama Datuk Seri Najib… Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) pun banyak kali dalam Parlimen dan luar Parlimen berkata bahawa beliau tidak ada apa-apa motif dendam tetapi ini adalah kedaulatan undang-undang,” katanya.

Dalam pada itu, mengulas mengenai kebarangkalian untuk PH dan BN kembali bekerjasama pasca Pilihan Raya Umum (PRU) ke-16 kelak, Fahmi tidak menolak kemungkinan berkenaan sekiranya situasi “Parlimen tergantung” seperti pilihan raya lalu berulang.

“Tak mustahil sebab saya nampak, bacaan sayalah, sekiranya dititahkan oleh Yang di-Pertuan Agong, untuk mengelakkan ketidakstabilan maka kita perlu ketepikan perbezaan dan bentuk kerajaan demi kestabilan, kemajuan serta keselamatan negara,” katanya.

Ditanya mengenai Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka akan datang, Fahmi tidak menolak kemungkinan bekerjasama dengan BN yang menguasai 21 kerusi Dewan Undangan Negeri menerusi kaedah persefahaman politik terhad atau bersyarat.

“Itu satu pilihan… kedua adalah totally go solo,” katanya sambil menambah dinamik politik tanah air kini berbeza antara satu negeri dengan negeri yang lain.

“Apa yang berlaku di satu negeri belum tentu sesuai dan berlaku di negeri yang lain… apa yang mungkin kita saksikan di dalam siri PRN, belum tentu akan menjadi seperti yang dijangkakan pada PRU.

“Sebab macam (PRN) Melaka masa awal 2022, PH kalah teruk tapi masa PRU, kita menang tiga kerusi… BN dan PN pula tak ada kerusi Parlimen… jadi, pengundi sekarang ni complicated dan kompleks pemikiran dia,” katanya.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here