PENERBANGAN KT051 (MH8110) yang membawa jemaah haji Malaysia mengambil langkah berjaga-jaga dengan melakukan pendaratan di Lapangan Terbang Muscat, Oman pada jam 4.11 petang waktu tempatan berikutan isu teknikal pesawat.
Dalam satu kenyataan, Lembaga Tabung Haji (TH) memaklumkan, kesemua 278 jemaah haji berada dalam keadaan selamat.
Menurut kenyataan itu, penerbangan itu berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada Isnin, jam 2.06 petang waktu Malaysia dan dijadualkan tiba di Jeddah sekitar jam 5.50 petang hari yang sama.
“Semua jemaah haji dilaporkan selamat dan pihak keluarga tidak perlu bimbang dengan keadaan mereka,” menurut kenyataan itu.
“Pihak AMAL by Malaysia Airlines akan membuat penilaian ke atas pesawat sebelum membuat keputusan selanjutnya mengenai penerbangan tersebut.
“Sekiranya perlu, semua jemaah akan ditempatkan di hotel sebelum meneruskan perjalanan ke Jeddah,” katanya.
TH turut memaklumkan bahawa sebarang perkembangan lanjut akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.


