
BERAKHIRLAH sudah Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah semalam. Seperti yang saya tulis dalam ruangan ini pada 17 November lalu yang bertajuk PRN Sabah : Kejutan Luar Biasa atau Warna-Warni Politik Biasa? ia hampir menggambarkan keseluruhan perjalanan pilihan raya itu.
Kejutan luar biasa ialah apabila DAP hilang semua kerusinya, manakala cerita yang lain adalah politik warna-warni Sabah yang biasa diramalkan (bukanlah mengejutkan).
Sebenarnya, ramai yang melihat keputusan itu sebagai amaran kepada semua pihak untuk menuju pilihan raya berikutnya sama ada di peringkat negeri, mahupun PRU akan datang.
Oleh kerana saya berada di Kampar, Perak, saya gemar makan di medan selera pelbagai kaum di tengah-tengah pekan Kampar lama, sambil mendengar pelbagai cerita.
Pagi ini, kelihatan orang Cina begitu ghairah membeli surat khabar secara luar biasa hingga menarik minat saya untuk bertanya apakah istimewanya keputusan pilihan raya Sabah?
Jarang mendengar orang Cina berkata bahawa berita paling gembira dan teruja untuk diketahui ialah kekalahan DAP yang mereka tunjuk ‘gambar telur’ di Sabah yang seolah-olah diraikan dengan sangat gembira.
Saya bertanya apakah punca tiba-tiba sahaja orang Cina beralih arah kepada parti Warisan dan GRS umpama tsunami di Sabah?
Rata-rata orang Cina menganggap dua faktor utama yang sangat mengecewakan iaitu DAP yang dilihat gagal memperjuangkan nasib penyokong utama terutama orang Cina dan imej sesetengah pemimpin yang dilihat ‘cakap tidak serupa bikin’ sehingga menimbulkan perasaan menyampah dalam kalangan masyarakat itu.
Orang Cina tetap meletakkan ‘boleh cari makan dengan selesa’ sebagai faktor untuk menyokong mana- mana parti. Kini DAP dilihat tidak bermaya, retorik dan kadang-kadang angkuh dengan kuasa yang ada.
Seorang pemimpin kaum Cina yang juga kawan saya berkata, paling pantang dan sakit hati orang Cina sekarang ialah apabila banyak janji pemimpin tidak ditepati atau berbohong dengan orang Cina.
Saya berterima kasih dengan Pak Sheikh Junior iaitu salah seorang penyokong setia PMX sejak dulu yang telah mengambil masa 45 minit bersembang dengan saya di talian telefon yang mendengar pandangan saya mengenai kelemahan proses reformasi pentadbiran sehingga ia dianggap hanya retorik oleh rakyat.
Dengan cabaran yang ada, sepatutnya selepas memerintah sejak 2022, revolusi struktur pentadbiran negara perlu dilakukan bagi membolehkan usaha mencapai kemakmuran Malaysia dapat dilaksanakan secara drastik dalam pelbagai sudut.
Walaupun pemerintah cuba untuk menggambarkan keadaan yang semakin baik, namun hakikatnya rakyat semakin ‘struggle’ atau bergelut untuk meneruskan kehidupan.
Rakyat sebenarnya melihat kepimpinan negara meletakkan politik dan kelangsungan kuasa sebagai keutamaan sepanjang masa sehingga gagal membuktikan kepada rakyat pembaharuan yang menguntungkan dan meyakinkan.
Akhirnya, keadaan yang sudah tidak terkawal berlaku dan memburukkan keadaan dan bakal membarah sama ada secara sedar atau tidak. Semuanya seolah-olah tiada hala tuju yang jelas. Setiap hari dengan ‘add hoc’ untuk survival hari ini.
Banyak urusan rakyat kelihatan dipikul secara bersendirian atau ‘one man show’. Tatakelola yang kelihatan seperti sindiran ‘tata ke laut’.
Sikap orang politik dan penjawat awamdilihat hampir sama dan kadangkala menimbulkan persepsi seolah-olah kerajaan berperang dengan rakyat dalam pelbagai isu. Maka akhirnya timbul persoalan, siapakah yang sedang mengawal negara sekarang?
Selepas Sarawak, PRN Sabah adalah amaran rasa bosan rakyat bawahan terhadap kepimpinan negara. Mengingatkan sesetengah pemimpin supaya kembali ke pangkal jalan, jangan sombong dengan kuasa serta lupa janji-janji yang pernah dilontarkan.
Jika tiada proses pembetulan dibuat segera terutama dalam hal kemakmuran rakyat selepas ini, saya yakin akan ada tsunami luar biasa dalam pilihan raya berikutnya.
Semua pihak mahukan muka baru, kepimpinan politik baru dan Malaysia generasi baru mengubah masa depan Malaysia yang sudah tepu kepimpinannya, namun saya menjangkakan perubahan Malaysia baru itu hanya akan berlaku dalam tempoh dua PRU akan datang. Kenapa? Apabila hukum alam akan menentukannya. Faham-faham sahajalah.
*Penulis adalah usahawan dan penganalisis sosioekonomi.


