ITU PP-26: Tiada negara mampu tangani cabaran telekomunikasi global bersendirian – Fahmi

TIADA negara mampu menangani secara bersendirian cabaran yang semakin kompleks dalam sektor telekomunikasi global, sekali gus menjadikan kerjasama antarabangsa lebih erat semakin penting berbanding sebelum ini, kata Menteri Komunikasi Datuk Seri Fahmi Fadzil.

Beliau berkata perkembangan teknologi yang pesat serta kemunculan cabaran baharu, termasuk tidak dijangka, menuntut negara-negara menjalinkan kerjasama lebih rapat dan berkongsi pengalaman dalam mencari penyelesaian praktikal.

“Saya berharap jaringan hubungan yang telah kita bina sepanjang menghadiri Persidangan Perwakilan Penuh ITU ini akan membuka lebih banyak ruang dan peluang untuk memperluas kerjasama, sama ada di luar persidangan atau di negara masing-masing, kerana saya percaya tiada negara mampu menangani sebahagian daripada cabaran ini secara bersendirian,” katanya.

Fahmi berkata demikian dalam ucapan alu-aluannya pada majlis jamuan tengah hari anjuran Malaysia bagi meraih sokongan terhadap pemilihan semula negara sebagai anggota Majlis Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa (ITU) bagi penggal 2027-2030 di Pusat Pameran dan Konvensyen Doha (DECC) di Doha hari ini,lapor Bernama.

Majlis itu diadakan di luar Persidangan Perwakilan Penuh ITU 2026 (PP-26) yang menghimpunkan pemimpin kerajaan, penggubal dasar dan wakil badan kawal selia telekomunikasi dari seluruh dunia.

Fahmi yang mengetuai delegasi Malaysia ke persidangan itu berkata negara kekal komited untuk memperkukuh kerjasama antarabangsa, di samping mengekalkan pendirian berkecuali dalam landskap digital global yang semakin kompleks.

“Malaysia bersedia untuk menghulurkan sebarang bantuan serta menyediakan ruang dan peluang bagi kerjasama. Kita sebuah negara yang berkecuali. Kita percaya kepada kebolehoperasian antara sistem dan yakin bahawa kerjasama akan membawa manfaat yang jauh lebih besar kepada semua pihak,” katanya.

Beliau turut memohon sokongan negara anggota ITU bagi pemilihan semula Malaysia sebagai anggota majlis berkenaan, dengan pengundian dijadual berlangsung pada 16 Nov ini.

“Kami berharap mendapat sokongan anda semua dalam usaha untuk dipilih semula pada 16 Nov ini,” katanya.

Fahmi turut mengetengahkan pengalaman unik Malaysia dalam pelaksanaan rangkaian teknologi generasi kelima (5G), khususnya peralihan daripada model rangkaian borong tunggal kepada pendekatan dwirangkaian.

Beliau berkata pengalaman Malaysia itu boleh memberikan panduan dan perspektif berguna kepada negara lain yang sedang membangunkan infrastruktur telekomunikasi masing-masing.

“Kita satu-satunya negara di dunia yang melaksanakan rangkaian 5G menerusi model rangkaian borong tunggal dan juga satu-satunya negara yang beralih kepada penyelesaian dwirangkaian.

“Jadi, terdapat beberapa perkara yang berjaya kita laksanakan dan mungkin menarik minat anda semua,” katanya.

Malaysia yang menganggotai ITU sejak 1958, kini merupakan anggota Majlis ITU dan berusaha untuk dipilih semula bagi penggal 2027-2030 sebagai sebahagian daripada komitmen berterusannya untuk memperkukuh kerjasama telekomunikasi global serta memajukan pembangunan digital.

Turut hadir pada majlis itu ialah Timbalan Ketua Setiausaha (Infrastruktur Telekomunikasi) Kementerian Komunikasi Mano Verabathran, Duta Besar Malaysia ke Qatar Faizal Razali, Pengarah Urusan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) Abdul Karim Fakir Ali serta Setiausaha Agung ITU Doreen Bogdan-Martin.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here