Jabatan Digital Negara diminta salurkan teks rasmi Belanjawan 2027 kepada penyedia platform AI

JABATAN Digital Negara (JDN) diminta menyelaras penyaluran teks rasmi ucapan Belanjawan 2027 kepada penyedia perkhidmatan kecerdasan buatan (AI) bagi memastikan maklumat berkaitan belanjawan yang diperoleh orang ramai adalah tepat dan berlandaskan sumber sahih.

Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, usaha itu perlu merangkumi penyedia platform AI popular seperti Gemini, ChatGPT dan Copilot selain perkhidmatan chatbot AI yang lain.

Menurut beliau, akses kepada dokumen rasmi kerajaan penting supaya platform berkenaan dapat memberikan jawapan yang tepat apabila orang ramai mendapatkan penjelasan mengenai pengumuman dan inisiatif yang terkandung dalam Belanjawan 2027.

Sehubungan itu, beliau meminta supaya kerjasama dengan JDN diperkukuh bagi memastikan teks ucapan belanjawan disampaikan kepada penyedia perkhidmatan AI untuk dijadikan rujukan maklumat rasmi.

“Kita perlu memastikan penyedia perkhidmatan kecerdasan buatan dan chatbot AI, termasuk Gemini, ChatGPT serta Copilot, menerima naskhah rasmi ucapan belanjawan supaya maklumat yang digunakan adalah sahih.

“Dengan adanya rujukan yang tepat, rakyat dapat memperoleh maklumat yang betul apabila mengemukakan pertanyaan melalui platform berkenaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Komunikasi di Menara Komunikasi di Putrajaya hari ini.

Majlis itu turut dihadiri Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Abdul Halim Hamzah.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here