KOTA Laksamana disasarkan menjadi ibu negeri Melaka menerusi perancangan pembangunan koridor ekonomi baharu, jika Barisan Nasional (BN) memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) itu.
Pengerusi BN Melaka, Datuk Seri Dr Ab Rauf Yusoh berkata, cadangan berkenaan antara perancangan kerajaan negeri untuk mengubah landskap pembangunan dan ekonomi kawasan terbabit, dalam tempoh lima tahun akan datang.
Katanya, pembangunan pesat Kota Laksamana termasuk sektor perumahan, pelancongan dan perubatan berpotensi menjadikan kawasan itu sebagai pusat pentadbiran negeri yang baharu.
“Saya mensasarkan, insya-Allah Kota Laksamana akan menjadi ibu kota negeri Melaka. Itu yang saya harapkan. Kerana siapa boleh beritahu saya di mana sekarang ibu kota Melaka? Tak ada. Tak ada tempat. Jadi kalau kita menang Kota Laksamana, kita hadiahkan pada orang Kota Laksamana sebuah pusat yang akan menjadi ibu negeri Melaka,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada program kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16 di Bilik Gerakan BN Kota Laksmana, Melaka hari ini, lapor Buletin TV3.
Turut hadir, Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Seong dan calon BN DUN Kota Laksamana, Melvin Chua Kew Wei.
Ab Rauf yang juga Ketua Menteri Melaka berkata, kawasan ekonomi baharu itu merangkumi pembangunan pusat perubatan, selain pelbagai projek pelancongan dan komersial dijangka mengubah landskap ekonomi negeri.
Beliau berkata, antara kemudahan sedia ada dan pembangunan dikenal pasti termasuk Encore Melaka, Hospital Pakar Oriental serta pusat beli-belah baharu di Klebang.
Katanya, perancangan itu akan dilaksanakan secara berperingkat dengan tempoh lima tahun pertama dijadikan asas kepada pembangunan seterusnya.
Dalam perkembangan sama, Ab Rauf menyifatkan kemenangan BN di DUN Kota Laksamana bukan sesuatu yang mustahil, malah yakin calon parti itu, Melvin Chua, mampu memberikan kejutan pada PRN kali ini.
“Sasaran kita, Kota Laksamana, saya kira kali ini, tahun ini, bulan ini, penggal ini, tak mustahil Melvin boleh menjadi wakil rakyat.
“Kerana soal masa dan keadaan memerlukan perubahan, kalau kita masih lagi berada di takuk lama, payah untuk berubah,” katanya.
Ab Rauf berkata, kerajaan negeri akan membantu menyediakan kemudahan dan mengurangkan birokrasi bagi mempercepatkan pembangunan ekonomi di kawasan berkenaan.
Melvin Chua berdepan saingan tiga penjuru membabitkan calon Pakatan Harapan (PH-DAP), Low Chee Leong dan Parti Bersama Malaysia (BERSAMA), Ethan Lim Zhi Hao.
Pada PRN 2021, Chee Leong mempertahankan kerusi berkenaan dengan majoriti 11,494 undi.





