ARMADA Bersatu Malaysia (Armada) hari ini membidas kenyataan Ahli Parlimen Machang Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal yang menuntut ketelusan kerajaan berhubung penangguhan perintah tahanan rumah melibatkan Datuk Seri Najib Tun Razak.
Ketuanya Harris Idaham Rashid berkata, Armada melihat satu ironi yang amat besar apabila Wan Ahmad Fayhsal kini seolah-olah berubah arah daripada seorang pengkritik tegar 1MDB kepada seorang juara tahanan rumah kepada bekas Perdana Menteri itu.

Katanya, negara dan generasi muda tidak lupa akan rekod penulisan-penulisan lama Wan Ahmad Fayshal yang sangat ekstensif, tajam, dan lantang di media sosial serta portal analitis suatu ketika dahulu.
‘’Kupasan-kupasan bertulis beliau yang secara khusus membongkar struktur hutang 1MDB, isu bon Goldman Sachs, dan peranan syarikat cengkerang (shell companies) untuk menyeleweng dana rakyat adalah manifestasi idealisme anak muda yang tidak sepatutnya dicairkan, diubah hala, atau dikompromikan hari ini demi sebarang perkiraan politik jangka pendek,’’ katanya dalam kenyataan.
Oleh itu, kata Harris Idaham, mengingatkan Wan Ahmad Fayhsal agar tidak bertindak ‘lebih sudu daripada kuah’ atau menjadi lebih cenderung daripada UMNO sendiri dalam memperjuangkan agenda melibatkan figura yang terkait dengan krisis integriti terbesar negara.
‘’ Fokus perjuangan dan jati diri politik anak muda adalah jelas, iaitu berpaksikan penolakan total terhadap salah laku rasuah dan penyelewengan dana awam,’’ katanya.
Beliau berkata, Armadaa menegaskan keputusan Lembaga Pengampunan haruslah sentiasa dihormati dan dilaksanakan mengikut ketetapan prosedur yang sah.
‘’Kritikan & pembuktian inconsistency terhadap Wan Fayhsal sama sekali tidak mempertikaikan kuasa mutlak institusi Yang di-Pertuan Agong, sebaliknya kekal menjunjung tinggi kedaulatan Perlembagaan serta institusi beraja negara,” katanya.





