JABATAN Agama Islam Selangor (JAIS) mengesahkan penahanan seorang lelaki beragama Islam yang disyaki terbabit dalam ritual agama lain, di ibu negara tengah hari tadi.
Pengarah JAIS, Datuk Mohd Shahzihan Ahmad berkata, lelaki berusia 21 tahun itu ditahan bersama ibunya yang berumur 52 tahun.

Menurut beliau, tindakan itu dijalankan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) berdasarkan waran tangkap bersaling yang dikeluarkan Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam.
“Kedua-dua individu berkenaan kini disiasat JAIS mengikut Seksyen 4 dan Seksyen 10 Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995.
“Berdasarkan risikan selepas kes membabitkan OYDS (Orang Yang DiSyaki) ini tular, JAIS juga dijangka akan memanggil sekurang-kurangnya 14 individu lain bagi membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd Shahzihan menegaskan, JAIS memandang serius perkara itu dan akan memastikan setiap tindakan dilaksanakan berdasarkan fakta kes, peruntukan undang-undang serta bidang kuasa jabatan.
Media sebelum ini melaporkan, JAIS sedang menyiasat seorang individu yang disyaki melakukan perbuatan bertentangan dengan hukum syarak apabila didakwa mengikuti ritual agama lain ketika perayaan Thaipusam di Batu Caves, Selangor.
Siasatan berkenaan dijalankan mengikut Seksyen 4 dan Seksyen 10 Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995.





