Fahmi mahu himpunan ucapan tokoh negara diperluas sebagai projek nasional

HIMPUNAN teks ucapan tokoh politik dan masyarakat terdahulu dicadangkan untuk diperluas sebagai projek nasional bagi memastikan pemikiran, pengalaman serta perjuangan generasi awal negara terus dipelihara dan diwarisi generasi akan datang.

Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, usaha menerbitkan semula koleksi bersejarah menerusi buku The Great Wisdom of the First Malaysians perlu diperkasakan, termasuk dengan mendapatkan semula teks ucapan tokoh yang mungkin masih tersimpan dalam arkib.

Beliau turut menyatakan kesediaan untuk mengusahakan dana bagi mencetak 2,000 naskhah tambahan buku berkenaan supaya lebih ramai dapat mengakses bahan sejarah itu.

“Usaha ini wajar digerakkan sebagai projek nasional. Ia juga perlu diperluas terutamanya bagi mencari semula teks atau ucapan tokoh terdahulu yang mungkin tersimpan dalam arkib,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran buku berkenaan di Angkasapuri, Kuala Lumpur hari ini.

Buku setebal 494 muka surat itu merupakan cetakan semula koleksi ucapan pemimpin terpilih yang dihimpunkan wartawan J Victor Morais pada 1967.

Antara tokoh yang termuat dalam kompilasi berkenaan ialah Perdana Menteri pertama merangkap Bapa Kemerdekaan, Tunku Abdul Rahman; tokoh kemerdekaan, Tun VT Sambanthan; serta sarjana dan pemikir terkenal, Syed Hussein Alatas.

Mengulas lanjut, Fahmi berkata, cadangan memperluas inisiatif itu akan dibincangkan bersama Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang bagi mengenal pasti langkah bersesuaian untuk merealisasikannya.

Antara perkara yang akan dipertimbangkan adalah menjadikan usaha pendokumentasian ucapan tokoh sebagai sebahagian daripada pengisian Sambutan Bulan Kebangsaan tahun depan.

Beliau turut mencadangkan supaya buku berkenaan dibawa ke Parlimen bagi memperluas pendedahan terhadap himpunan pemikiran dan sejarah perjuangan tokoh terdahulu.

Sementara itu, individu yang menerbitkan semula naskhah berkenaan, Datuk James Sarda berkata, koleksi itu mempunyai nilai besar sebagai rujukan sejarah dan bahan penyelidikan, khususnya untuk memahami cabaran yang pernah dihadapi negara.

James yang juga Ketua Pengarang Daily Express Sabah berkata, pendokumentasian semula bahan lama membolehkan teks ucapan berkenaan diakses dengan lebih mudah oleh penyelidik, pelajar dan masyarakat umum.

“Buku ini ada segalanya… dan ia ibarat ‘lombong emas’ atau ‘pusat sehenti’ dalam bidang penyelidikan.

“Terutamanya bagi mereka yang membuat kajian berkaitan politik termasuk mahasiswa universiti yang mahu tahu apakah cabaran yang pernah Malaysia hadapi sebelum ini,” katanya ketika ditemui media.

Turut hadir pada majlis pelancaran itu ialah Benedict Morais, anak kepada penulis asal buku berkenaan.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here