JABATAN Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) akan bekerjasama dengan pihak berkuasa agama Islam negeri dan agensi berkaitan untuk memanggil individu dari Malaysia yang menyertai pertandingan Miss Equality World 2026 di Thailand.
Ketua Pengarah JAKIM, Datuk Sirajuddin Suhaimee berkata, tindakan itu akan dibuat berpandukan undang-undang dan peraturan yang sedang berkuat kuasa.
“Berpandukan undang-undang dan peraturan yang sedang berkuat kuasa, JAKIM akan bekerjasama dengan pihak berkuasa agama Islam negeri dan agensi-agensi berkaitan untuk memanggil individu berkenaan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Sirajuddin berkata, JAKIM memandang serius penglibatan berkenaan yang disifatkan amat mendukacitakan serta menimbulkan keresahan awam.
Menurutnya, perlakuan terbabit jelas bertentangan dengan nilai agama dan fitrah manusia, selain bercanggah dengan perundangan negara.
“JAKIM dan pihak berkuasa agama Islam negeri-negeri tidak akan berkompromi dengan apa-apa usaha untuk menormalisasikan perlakuan songsang tersebut,” katanya.
Hari ini Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) mengecam sekeras-kerasnya tindakan seorang individu yang menyertai pertandingan ratu cantik transgender pada 30 Ogos di Bangkok, Thailand.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr.Zulkifli Hassan berkata, tindakan sedemikian bukan sahaja mencemarkan imej negara di persada antarabangsa, malah bertentangan secara nyata dengan ajaran Islam, norma budaya tempatan, serta nilai kesopanan dan kesusilaan yang menjadi pegangan rakyat Malaysia.





