Tiga sekeluarga maut di Temerloh baru pulang sambut Hari Kebangsaan di Putrajaya

TIGA  sekeluarga yang maut dalam kemalangan melibatkan 11 kenderaan di Kilometer 110.3 Lebuhraya Pantai Timur (LPT) arah timur di Lanchang, di Temerlohmalam tadi, baru pulang dari Putrajaya selepas menyambut Hari Kebangsaan.

Mohd Kazwan Mohd Kassim, 59, berkata anaknya Nur Atiqah Sofiya dan suami Muhammad Nazatul Nazmi serta anak pasangan itu Muhammad Armaan Nazeef juga kali pertama menghadiri sambutan Hari Kebangsaan di Putrajaya.

Mohd Kazwan berkata mengetahui tentang kemalangan itu pada 7.50 pagi tadi selepas melihat hantaran di media sosial.

“Saya cakap dalam hati, semoga ini bukan anak saya sebab S70 itu macam kereta anak saya sehingga saya menerima panggilan yang mengatakan benar itu anak saya,” katanya kepada pemberita di Unit Perubatan Forensik Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAS) di Temerloh hari ini, lapor Bernama.

Sementara itu, sepupu mangsa Nur Awatif Adawiyah Abdul Aziz, 30 berkata Nur Atiqah Sofiya sempat menghantar gambar suasana sambutan Hari Kebangsaan dalam kumpulan WhatsApp keluarga dan memuat naik gambar di Instagram story.

“Banyak gambar mereka ambil satu keluarga. Kami tidak sangka itu menjadi kenangan terakhir,” katanya.

Difahamkan, jenazah tiga sekeluarga itu akan dimandikan dan disembahyangkan di Masjid Kampung Paya Luas di sini sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Setali, Kuantan.

Muhammad Nazatul dan Nur Atiqah Sofiya masing-masing berusia 32 tahun serta anak lelaki mereka Muhammad Armaan Nazeef berusia empat tahun antara empat yang maut dalam kemalangan di lebuh raya itu semalam.

Seorang lagi mangsa yang maut ialah penumpang Honda CR-V, Seow Beng Wain, 55, dari Kota Kemuning, Shah Alam, Selangor.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here