PENGERUSI Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias mengelak daripada mengadakan sidang media dan enggan mengulas lanjut mengenai kedudukan Menteri Besar, Datuk Ismail Lasim.
“Maaf, tak sempat nak PC (sidang media). Saya ‘rushing‘,” katanya ketika ditemui media selepas menghadiri majlis pecah tanah projek perumahan di Simpang Pertang, hari ini, lapor BH.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pertang kemudian dilihat tergesa-gesa meninggalkan majlis berkenaan selepas menerima satu panggilan telefon.
Sebelum itu, Jalaluddin secara berseloroh memaklumkan kepada wartawan bahawa tiada sidang media akan diadakan berhubung isu Menteri Besar.
“Tiada sidang media berkaitan hal itu, tanya pasal projek perumahan sahaja, saya tak nak komen pasal Menteri Besar,” katanya.
Berdasarkan sumber, Jalaluddin tidak mahu mengulas perkara berkenaan kerana berpendapat hanya Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang sewajarnya mengeluarkan kenyataan mengenainya.
Terdahulu, Ismail yang juga ADUN Juasseh memaklumkan beliau kekal menjalankan tugas sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan selepas menerima titah Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.
Perkara itu diumumkan dalam sidang media di Kediaman Rasmi Menteri Besar selepas beliau selesai menghadap Tuanku Muhriz di Istana Hinggap di Seremban pagi tadi.





