AMK gesa Ismail Lasim berundur susulan kemelut Negeri Sembilan

ANGKATAN Muda Keadilan (AMK) menggesa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Juasseh, Datuk Ismail Lasim supaya berundur secara terhormat daripada jawatan Menteri Besar Negeri Sembilan susulan kemelut yang sedang berlaku di negeri itu.

Ketuanya, Muhammad Kamil Abdul Munim mendakwa, perkembangan berkenaan telah menjejaskan martabat institusi diraja dan adat Negeri Sembilan.

Menerusi hantaran di Threads hari ini, beliau mempersoalkan tindakan pihak tertentu terhadap pemerintah Melayu yang sedang bertakhta, khususnya kelompok yang menurutnya sering menyuarakan pendirian berkaitan kedudukan Melayu, Islam dan institusi diraja.

“Tidak wajar seorang raja pemerintah Melayu sedang bertakhta diperlakukan sedemikian rupa oleh kelompok yang sering bercakap mengenai soal mempertahankan kedudukan Melayu, Islam dan institusi diraja,” katanya dalam hantaran itu.

Muhammad Kamil berkata, sebarang pertikaian berkaitan perkara itu sewajarnya diselesaikan menerusi saluran yang ditetapkan serta mematuhi undang-undang.

Beliau turut mendakwa, perkara berkenaan sudah dibawa ke mahkamah dan perintah injunksi telah dikeluarkan.

“Dalam kemelut seperti ini, ia mesti diurus dengan penuh tertib mengikut peraturan dan undang-undang yang termaktub,” katanya.

Dalam pada itu, Muhammad Kamil mendakwa perkembangan berkenaan mempunyai kaitan dengan kepentingan politik pihak tertentu dan menyifatkannya sebagai tindakan yang tidak menghormati institusi Raja-Raja Melayu.

Sehubungan itu, beliau menggesa Ismail mengambil langkah berundur daripada jawatan Menteri Besar sebagai usaha menangani kemelut yang berlaku.

“Dalam keadaan ini, langkah yang paling wajar ialah bagi Datuk Ismail Lasim berundur secara terhormat sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan,” katanya.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here