Janda sanggup naik bas empat jam jumpa duda, akhirnya dicekup khalwat

SEORANG wanita berusia 20-an sanggup menaiki bas ekspres selama kira-kira empat jam dari Melaka ke Kluang semata-mata untuk bertemu kekasihnya sebelum mereka ditahan kerana disyaki berkhalwat di sebuah hotel di Batu Pahat, semalam.

Wanita berstatus janda itu tiba di Kluang kira-kira jam 6 petang sebelum menuju ke hotel berkenaan untuk bertemu teman lelakinya, seorang duda berusia 30-an yang baru dikenalinya.

Bagaimanapun, pasangan terbabit ditahan selepas bilik hotel mereka diserbu pegawai dan anggota penguat kuasa Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) kira-kira jam 6.40 petang.

Menurut JAINJ, lelaki terbabit yang juga duda anak empat dan bekerja di Kluang terlebih dahulu mendaftar masuk di hotel berkenaan.

“Tidak lama kemudian, wanita itu tiba di hotel lalu memasuki biliknya. Penguat kuasa menjalankan pemeriksaan sebelum lelaki terbabit membuka pintu kira-kira lima minit kemudian.

“Lelaki itu keluar dengan memakai baju-T dan seluar panjang, manakala pemeriksaan di dalam bilik menemukan seorang wanita lengkap berpakaian sedang duduk di atas katil,” katanya dalam kenyataan.

JAINJ berkata, pasangan terbabit bimbang apabila menyedari kehadiran penguat kuasa sebelum wanita berkenaan mengaku dirinya seorang janda anak satu, tidak bekerja dan menetap di Melaka.

Katanya, kedua-dua mereka mengaku tidak mempunyai hubungan yang sah dan memberi alasan hanya bertemu untuk berbincang.

“Mereka mendakwa tidak melakukan sebarang perbuatan yang tidak baik,” katanya.

Menurut JAINJ, pihaknya turut merekodkan keterangan kedua-dua individu terbabit.

Pasangan berkenaan akan didakwa mengikut Seksyen 27 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Negeri Johor.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here