LEMBAGA Tabung Haji (TH) kini berada pada kedudukan yang lebih kukuh dan mampan hasil pelaksanaan pelan pemulihan serta reformasi institusi sejak 2018.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Zulkifli Hasan berkata, penstrukturan semula aset dan liabiliti berjaya memulihkan kedudukan kewangan TH, selain membersihkan kunci kira-kira serta membina semula rizab kewangan yang lebih kukuh.
Menurut beliau, TH turut mencatatkan pendapatan pelaburan tertinggi dalam sejarah sebanyak RM4.64 bilion pada 2025, hasil peningkatan kualiti pelaburan serta pengukuhan tadbir urus dan ketelusan dalam pengurusan institusi.
“Hasilnya, di bawah kepimpinan Pengerusi, Lembaga Pengarah serta pasukan pengurusan yang profesional dan berwibawa, TH kini berjaya kembali ke landasan yang lebih kukuh dan mampan melalui pelaksanaan pelan strategik, reformasi serta tadbir urus yang lebih baik, tanpa campur tangan Kerajaan,” katanya dalam Sidang khas mengenai Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai TH di Dewan Rakyat.
Dalam pada itu, Dr. Zulkifli berkata, kadar Agihan Keuntungan TH meningkat secara berperingkat daripada 1.25 peratus pada 2018 kepada 3.5 peratus pada 2025, sekali gus mencatatkan kadar tertinggi dalam tempoh lapan tahun.
Pencapaian itu direkodkan walaupun TH mengambil kira RM2.6 bilion aset legasi bermasalah sejak sebelum 2018 yang perlu dirosot nilai secara berperingkat sehingga 2025.
Dalam perkembangan yang sama beliau berkata, ebih 75 peratus daripada syor RCI TH telah dilaksanakan bagi memperkukuh tadbir urus dan kedudukan institusi itu.
Katanya, TH turut memberi komitmen untuk menyelesaikan baki syor relevan yang kini dalam pelaksanaan.
Antara pembaharuan yang dilaksanakan ialah langkah memperkukuh struktur kepimpinan dan tadbir urus TH selaras dengan syor RCI.
“Alhamdulillah, TH telah melaksanakan pelantikan kepimpinan termasuk ahli Lembaga Pengarah dan pengurusan berdasarkan integriti, kebolehan serta pengalaman, mengikut kriteria ‘fit and proper’ (layak dan sesuai) yang digunakan oleh Bank Negara Malaysia
“Kita mempunyai ramai teknokrat dan tokoh yang berwibawa, kompeten, beramanah serta berintegriti untuk menerajui TH.
“Buktinya, TH kini berada dalam keadaan yang sangat baik dari sudut pengurusan haji, pelaburan, kewangan dan secara keseluruhannya,” katanya
Menurut beliau, langkah itu selaras dengan syor RCI supaya pembaharuan menyeluruh dibuat terhadap Akta Tabung Haji, termasuk menetapkan kriteria khusus kelayakan dan kaedah pemilihan anggota Lembaga berdasarkan kepakaran.
Dari aspek kewangan, TH sejak 2022 telah melaksanakan pengumuman kadar Agihan Keuntungan berdasarkan penyata kewangan tahunan yang diaudit, manakala piawaian perakaunan turut diguna pakai sepenuhnya sejak 2018.
Kerajaan juga sedang meneliti pindaan Akta Tabung Haji termasuk memperjelas piawaian perakaunan serta memasukkan penalti terhadap salah lapor penyata kewangan bagi mengelakkan kelemahan sama berulang.





