SUARA AWANG SELAMAT
AWANG teruja bila membaca berita, Polis Serdang memburu kira-kira 20 penunggang motosikal yang mengepung dan menendang sebuah kereta dalam satu kejadian yang tular dalam media sosial baru-baru ini.
Difahamkan kejadian berlaku pada jam 4 pagi berhampiran Plaza Tol Batu 13, Puchong melibatkan seorang pemandu kereta Perodua Myvi berusia 52 tahun dan sekumpulan penunggang motosikal. Ketua Polis Serdang Muhamad Farid Ahmad berkata, siasatan dijalankan selepas mangsa membuat laporan polis berhubung kejadian itu.
Awang harap kesemua mereka akan ditahan dan disumbat dalam lokap, bila bawa pi mahkamah nanti pendakwa raya minta hakim kenakan hukuman berat. Hukum masuk penjara lagi bagus supaya mereka tak menyusahkan orang. Hidup mereka tak ada kerja lain, kononnya berani sangat buat macam-macam gaya atas motosikal. Lagipun mereka ni bila ramai-ramai berani la, ni la orang panggil ‘berani taik minyak’.
Sudah sampai masanya kerajaan kaji semula undang-undang melibatkan hukuman terhadap ‘mat rempit’ . Mungkin hukuman ringan menyebabkan mereka tak takut untuk terus ‘buat kerja gila tu’. Kalaupun tak kenakan hukuman penjara, gubal undang-undang supaya mereka dikenakan hukuman sebat. Paling minimum 3 sebatan. Bila kena sebat macam tu baru ingat sampai bila-bila.
Awang cadangkan hukuman berat seban dah menyampah dengan puak-puak ‘mat rempit’. Cuba tengok lebuh raya setiap kali hujung minggu berduyun-duyun puak ini beraksi sehingga menyusahkan pengguna lain. Bila kemalangan mulalah nak tunjuk solidariti tak bertempat dengan menyalahkan pemandu kenderaan lain.
Oleh itu PDRM jangan bagi muka lagi. Cari ’20 pelesit’ yang tendang kereta itu dan seterusnya pertingkatkan operasi setiap minggu untuk menahan ‘mat rempit’. Jangan biarkan mereka bermaharajalela sehingga merasakan seolah-olah tiada siapa boleh halang kejahilan mereka.
Selain mengancam pengguna jalan raya, mereka juga mengancam nyawa penguatkuasa khususnya polis trafik. Sudah berapa ramai anggota pasukan itu cedera akibat perbuatan gila ‘mat rempit-mat rempit’ ni. Sebab itulah Awang kadang kala tak simpati sangat kepada ‘mat rempit’ yang ‘tergolek’ atas jalan raya. Memang patut pun mereka terima ‘hukuman’ macam tu.
Tetapi masalahnya puak-puak ni tak pernah Insaf, walaupun badan tu berparut macam ‘kain buruk’ tak insaf-insaf jugak waima ada kawan mati depan mata sekalipun. Entah apa yang seronok sangat ‘merempit’ ni. Yang sedihnya anak Melayu ‘paling win’.
Lagi sedih bila kita ‘check’ latar belakang keluarga, majoriti anak-anak kurang berada. Ibu bapa kerja biasa-biasa sahaja. Kalau Awang sebut apa kerja mereka, nanti kata menghina. Tapi Awang betul-betul simpati dengan ibu bapa mereka tapi anak mereka sendiri tak kisah asyik nak berseronok. Bila jadi apa-apa emak bapak juga susah.
Jadi bila polis buatlah operasi menahan ‘mat rempit’ ia bertujuan mahu selamatkan mereka bukannya nak musnahkan hidup mereka yang sebenarnya dah musnah bila mereka ‘merempit’ kerana tak habis-habis menyusahkan orang.
Awang – geram lama dah


