‘’Jangan sampai parti menjadi mangsa’’ – Razali tegur Tun Faisal

BEKAS Ketua Bersatu Terengganu Datuk Razali Idris menegaskan, jawatan Ketua Penerangan bukanlah lesen untuk bercakap sebanyak mungkin apatah lagi menggasak semua orang di dalam media sosial.

Sebaliknya tegas beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijal, tugas Ketua Penerangan ialah menerangkan dasar, mempertahankan parti, menyatukan pimpinan dan membaca denyut nadi rakyat.

‘’Saya pernah memikul amanah itu. Alhamdulillah, bersama pimpinan, jentera dan rakan-rakan komponen PN, kita melalui PRU dengan pencapaian 31 MP dan 66 ADUN. Itu sejarah. Tetapi sejarah juga mengajar kita satu perkara kerana politik yang matang membina kekuatan, politik yang gelojoh membakar jambatan,’’ katanya.

Razali berkata demikian melalui catatan ‘Kaca Mata Saya’ di Facebook beliau hari ini yang dipercayai ditujukan kepada Ketua Penerangan Bersatu Tun Faisal Ismail Aziz.

Menurut Razali, hari ini, terlalu banyak kenyataan yang pada beliau tidak perlu keluar dan  tidak semua perkara perlu dijawab.

‘’Tidak semua kritikan perlu dilawan. Dan tidak semua perbezaan pandangan perlu dijadikan perang terbuka di media sosial. Lebih malang apabila kenyataan dibuat tanpa mengambil kira sentimen pimpinan dan akar umbi Bersatu di Pantai Timur.

‘’Kalau hendak jadi hero media sosial, silakan. Tetapi jangan sampai parti menjadi mangsa,’’ katanya.

Razali menegaskan,  keputusan PRN Johor dan Negeri Sembilan sepatutnya sudah cukup menjadi wake-up call.

‘’Kalau masih tidak sedar, masalahnya bukan lagi pada keputusan pilihan raya tetapi masalahnya mungkin pada cermin yang enggan kita pandang,’’ katanya.

Dalam PRN Johor pada 11 Julai, Bersatu kalah di kesemua 16 kerusi ditandinginya manakala di Negeri Sembilan, Bersatu yang bertanding solo kalah di 24 kerusi ditandingi. Daripada jumlah itu 23 calon parti itu termasuk Tun Faisal yang bertanding DUN Sikamat hilang deposit.

Melalui catatan itu, Razali berkata, beliau tidak lupa satu perkara apabila dalam satu mesyuarat BPN Bersatu Terengganu, AJK ketika itu sebulat suara mencadangkan supaya Ketua Penerangan diganti.

‘’Namun wakil MPT yang hadir tidak sampai hati membawa cadangan itu ke Mesyuarat MPT. Hari ini saya ulang secara terbuka kerana diam terlalu lama juga boleh menjadi satu bentuk kesilapan. Bersatu tidak akan bangkit dengan Ketua Penerangan yang paling lantang.

‘’(Sebaliknya) Bersatu akan bangkit dengan Ketua Penerangan yang paling bijaksana membaca keadaan, paling tenang mengurus perbezaan dan paling tajam menyusun strategi. Kita perlukan jurucakap parti, bukan jurucakap kemarahan,’’ katanya.

Beliau mengingatkan jangan kerana mahu menang hujah dalam media sosial, Bersatu kalah kepercayaan di bawah.

‘’Parti bukan pentas untuk ego individu. Parti ialah amanah untuk diperjuangkan,’’ katanya.

SEMENTARA itu, Tun Faisal berkata, kritikan Razali itu mungkin berkait dengan pendiriannya (Tun Faisal)  yang sejak kebelakangan ini lantang menegur dan mengkritik tindakan Pas.

“(Beliau) Exco Kerajaan negeri Pas dan ketika ini saya banyak menegur dan mengkritik Pas atas tindakan-tindakan Pas yang melanggar Perlembagaan Perikatan Nasional (PN) dan menafikan hak Bersatu sebagai anggota PN,” katanya kepada FMT.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here