SEORANG lelaki yang disyaki terlibat kegiatan mencuri kabel ditahan selepas cuba melarikan diri daripada pemeriksaan di sekitar Sri Petaling, Kuala Lumpur pagi tadi.
Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Fadil Marsus berkata kejadian berlaku kira-kira 9.30 pagi ketika anggota Polis Trafik Lebuhraya Kesas, Bukit Aman sedang melakukan rondaan sebelum mengesan sebuah kenderaan Ford Ranger berwarna hijau dalam keadaan mencurigakan.
Beliau berkata anggota polis kemudian memberikan isyarat supaya pemandu memberhentikan kenderaan berkenaan, namun lelaki itu terus memecut sebelum satu das tembakan dilepaskan ke arah tayarnya.
“Usaha mengejar kenderaan berkenaan dipercayai bermula dari Tol Awan Besar menghala ke Klang (Barat) hingga Jalan Hang Tuah 4, Sri Petaling dan berlangsung kira-kira 30 minit sebelum kenderaan itu berhenti berhampiran sebuah stesen minyak di Sungai Besi.
“Pemandu bagaimanapun tidak memberikan kerjasama dan cuba melanggar anggota polis sebelum lima das tembakan dilepaskan ke arah tayar belakang kanan kenderaan tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Fadil berkata pemandu terlibat kemudiannya melarikan diri dengan memandu kenderaan hingga memasuki Jalan Hang Tuah 4 sebelum hilang kawalan lalu melanggar sebuah kereta jenis Mazda berwarna kelabu.
“Susulan itu, polis menahan seorang penumpang kenderaan berusia 29 tahun, manakala pemandu terbabit melarikan diri.
“Pemeriksaan lanjut menemukan pelbagai barang dan peralatan dipercayai digunakan untuk kegiatan mencuri kabel selain kabel yang dipercayai telah dicuri,” katanya.
Beliau berkata semakan mendapati lelaki terlibatmempunyai 37 rekod jenayah lampau dan dikesan sebagai orang dikehendaki.
Katanya, polis kini giat mengesan seorang lagi lelaki yang melarikan diri dan kes disiasat mengikut Seksyen 307, Seksyen 427 dan Seksyen 379 Kanun Keseksaan serta Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Permohonan reman terhadap lelaki terbabit akan dibuat esok,” katanya.
Orang awam yang mempunyai maklumat berhubung kejadian diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Brickfields atau Hotline Polis Brickfields di talian 03-22979222, Hotline Polis Kuala Lumpur 03-21159999, Balai Polis Trafik Tun H.S. Lee 03-20719999 atau balai polis berdekatan.





