Azman mahu jadi ‘jambatan’ hubungan kerajaan pusat dengan kerajaan negeri

CALON Pakatan Harapan (PH) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Paya Rumput Datuk Azman Abidin berazam memanfaatkan pengalaman luasnya di Putrajaya untuk memberikan khidmat terbaik bagi penduduk kawasan itu jika diberi mandat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, kali ini.

Azman berkata ketika sesi turun padang untuk berkempen, beliau mendapati beberapa keperluan awam seperti dewan terbuka belum disediakan menyebabkan penduduk terpaksa meminjam ruang di surau atau sekolah untuk mengadakan program dan aktiviti setempat.

Oleh itu, Azman yang juga Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata hubungannya dengan Kerajaan Persekutuan akan memudahkan akses membawa masuk peruntukan untuk menaik taraf infrastruktur awam termasuk menyediakan dewan terbuka.

“Jawatan saya ini bukan sahaja platform untuk membantu menyelesaikan masalah di Paya Rumput, tetapi juga mampu membawa perubahan menyeluruh dari pelbagai aspek.

“Saya akan gunakan pengalaman dan akses yang ada dengan sebaiknya demi kebaikan orang Paya Rumput khususnya dan rakyat Melaka amnya memandangkan Paya Rumput ini terletak di tengah-tengah Melaka. Jadi, perkara yang berlaku di Paya Rumput akan terkesan di seluruh Melaka juga,” katanya.

Azman yang mempunyai pengalaman politik selama lebih 20 tahun berkata beliau juga mahu bertindak sebagai  “jambatan” yang menghubungkan Kerajaan Persekutuan dengan kerajaan negeri kerana tanpa kerjasama yang erat antara kedua-duanya, usaha menyelesaikan masalah rakyat akan menjadi sukar.

“Jadi, sesiapa pun yang menang di Melaka nanti, … kalau saya dipilih di Paya Rumput, perlu ada kerjasama (Kerajaan Persekutuan) dengan kerajaan negeri. Kalau tidak, memang tak boleh buat kerja nanti,” katanya.

Dalam pada itu, bagi memperkasakan industri kecil dan sederhana (IKS) tempatan, Azman merancang untuk membawa agensi Persekutuan terus kepada usahawan di Paya Rumput bagi memudahkan mereka mengenal pasti kemudahan yang disediakan seperti geran, bantuan dana serta latihan kemahiran yang bersesuaian.

“Pameran secara berkala, yang lebih kerap, seperti setiap enam bulan juga boleh diadakan bagi membolehkan mereka bertemu secara langsung dengan agensi-agensi berkaitan.

“Insya-Allah, perkara ini antara yang boleh saya bantu. Kita bawa agensi berkaitan IKS untuk buka mata usahawan terhadap peluang yang ada,” katanya.

Menurut Azman, latihan yang diberikan oleh agensi berkaitan secara berterusan mampu melonjakkan kualiti produk tempatan, terutama dari aspek penjenamaan dan pembungkusan.

“Contohnya dodol dan cencaluk … produk ini memang berpotensi dipasarkan ke luar Melaka dan kita lihat kaedah pembungkusan yang lebih kreatif dapat menarik perhatian pembeli terhadap produk yang sudah dikenali oleh mereka,” katanya.

Kerusi DUN Paya Rumput menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara Azman dengan calon Perikatan Nasional (PN) Rafie Ahmad dan Abdul Rashid Abu Bakar daripada Parti Bersama Malaysia (Bersama).



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here