SEBANYAK 72 kontena mengandungi sisa elektronik (e-waste) dikenal pasti cuba dibawa masuk ke negara ini melalui Pelabuhan Klang, hasil pelaksanaan Ops Bongkar sejak Selasa lalu.
Jabatan Alam Sekitar (JAS) dalam satu kenyataan memaklumkan, kontena terbabit adalah sebahagian daripada 158 kontena yang diperiksa sepanjang tempoh empat hari operasi bersepadu itu, melibatkan kerjasama beberapa pihak berkuasa berkaitan.
Menurut jabatan itu, berdasarkan rekod, kontena tersebut berasal dari Amerika Syarikat, Singapura, Turkiye, Sepanyol, China, Thailand, Kanada, Uruguay dan Ecuador.
Katanya, operasi itu adalah sebahagian usaha berterusan kerajaan bagi memastikan negara tidak dijadikan destinasi pelupusan haram sisa elektrik dan elektronik yang boleh menjejaskan alam sekitar serta kesihatan awam.
“JAS komited dalam usaha pemulangan semula kontena mengandungi e-waste dan buangan terjadual ke negara asal melalui pengeluaran Notis Arahan bawah Seksyen 31 Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.
“Pemulangan akan dibuat kepada pengimport, ejen penghantaran, syarikat perkapalan atau mana-mana pihak didapati terbabit aktiviti pengimportan haram, selain dilakukan mengikut prosedur ditetapkan bawah Konvensyen Basel,” menurut kenyataan itu hari ini.
JAS menegaskan, kegagalan mematuhi arahan atau sebarang pembabitan dalam pengimportan haram boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 34B Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974, dengan hukuman penjara maksimum lima tahun dan denda antara RM100,000 hingga RM10 juta.
Menurut JAS, usaha memerangi e-sisa memerlukan pendekatan bersepadu ‘whole-of-nation’ melibatkan Kementerian Pengangkutan, Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) serta pihak berkuasa tempatan bagi memastikan rantaian pengimportan dan pemprosesan haram e-waste diputuskan sepenuhnya.


