TAKTIK sindiket pengedaran dadah rentas sempadan yang dipercayai mengeksploitasi kemudahan penerbangan ketenteraan bagi menyeludup bekalan ke Sabah terbongkar selepas 11 individu termasuk lima pegawai Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) ditahan kelmarin.
Sindiket yang dipercayai aktif sejak Julai lalu itu disyaki menggunakan pengangkutan udara ketenteraan untuk membawa dadah dari Semenanjung Malaysia ke Sabah sebelum bekalan berkenaan diedarkan ke pasaran antarabangsa, khususnya Filipina dan Indonesia.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, penahanan itu dilakukan menerusi beberapa siri operasi di sekitar Lembah Klang dan Labuan, Sabah.

Menurutnya, operasi hasil kerjasama risikan JSJN Bukit Aman dengan Cawangan Provos Marsyal TUDM itu turut membawa kepada penahanan enam orang awam.
Operasi berkenaan juga menyaksikan rampasan 96.64 kilogram (kg) dadah disyaki methamphetamine atau syabu bernilai RM4.83 juta serta 6.98 kg cecair bahan kimia.
“Hasil siasatan mendapati dua daripada individu awam yang ditahan dipercayai berperanan sebagai koordinator dalam mengatur dan menyelaraskan kegiatan pengedaran dadah sindiket berkenaan.
“JSJN kini sedang giat mengesan seorang lagi warga Malaysia yang dipercayai merupakan ketua sindiket bagi membongkar keseluruhan struktur organisasi dan mengenal pasti pihak lain yang terlibat,” katanya hari ini, lapor Sinar Harian.
Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mendedahkan, beberapa pegawai TUDM termasuk juruterbang, dikesan terbabit dalam kegiatan penyeludupan dadah berskala besar, sekali gus mencetuskan kebimbangan serius kerajaan terhadap integriti pasukan keselamatan negara.
Perdana Menteri ketika mendedahkan perkara itu dalam sidang media di Shenzhen, China berkata, tindakan tegas akan diambil terhadap semua individu yang terlibat tanpa mengira pangkat atau kedudukan.
Beliau berkata, pihak polis dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) memerlukan sedikit masa untuk melengkapkan siasatan sebelum tindakan lanjut diambil.
Hussein dalam pada itu berkata, risikan awal mendapati sindiket berkenaan mempunyai modus operandi tersendiri dengan mengambil kesempatan terhadap kemudahan serta akses penerbangan ketenteraan untuk mengelakkan kegiatan mereka dikesan pihak berkuasa.
Katanya, lima pegawai TUDM yang ditahan direman selama tujuh hari bermula semalam manakala enam individu awam direman antara dua hingga lima hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
Tambah beliau, ujian saringan awal air kencing pula mendapati dua daripada individu awam yang ditahan positif methamphetamine, manakala seorang lagi mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan dadah.
Beliau berkata, jumlah dadah yang dirampas berpotensi menjejaskan kira-kira 483,000 individu sekiranya berjaya diedarkan.
Selain itu, JSJN turut menyita dua kenderaan iaitu Honda CR-V dan Toyota Vios yang keseluruhannya bernilai RM126,062 mengikut Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988.
Hussein berkata, perkembangan terkini itu menunjukkan sindiket semakin berani mengeksploitasi kemudahan strategik kerajaan serta memperalatkan individu yang mempunyai akses dan kedudukan tertentu bagi melindungi kegiatan jenayah mereka daripada dikesan pihak berkuasa.
“JSJN memandang serius sebarang penyalahgunaan kedudukan, kuasa atau kemudahan rasmi untuk kepentingan jenayah kerana tindakan sedemikian bukan sahaja melanggar undang-undang, malah boleh menjejaskan integriti institusi dan keselamatan negara,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada TUDM, khususnya Cawangan Provos Marsyal, atas kerjasama dalam menjayakan operasi berkenaan.
“Tiada kompromi terhadap mana-mana individu yang terlibat dalam kegiatan pengedaran dadah, tanpa mengira pangkat, jawatan, kedudukan atau organisasi yang diwakili.
“Tiada individu yang kebal daripada undang-undang dan tiada sindiket yang terlalu berpengaruh untuk ditumpaskan,” katanya.





