Jenazah Tun Dr Siti Hasmah akan dikebumikan di Presint 20 Putrajaya

JENAZAH Allahyarham Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali akan dibawa ke Masjid As Syarif, Taman Sungai Besi Indah, Kuala Lumpur untuk disolatkan, petang ini.

Difahamkan, jenazah akan disolatkan selepas solat Asar di masjid berkenaan sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Presint 20 di Putrajaya.

Terdahulu, jenazah dibawa pulang ke kediaman di The Mines, Seri Kembangan dari Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur pada jam 10.48 pagi tadi.

Allahyarham Tun Dr Siti Hasmah adalah antara wanita Melayu terawal yang bergelar doktor perubatan sebelum mencurahkan khidmat dalam bidang kesihatan awam negara.

Dilahirkan di Kampung Jawa, Klang, Selangor, pada 1926, beliau melanjutkan pengajian dalam bidang perubatan di King Edward VII College of Medicine, Singapura, menerusi biasiswa kerajaan dan satu-satunya pelajar wanita Melayu dalam kumpulannya.

Di situlah beliau bertemu Tun Dr Mahathir Mohamad sebelum mereka berkahwin pada 1956.

Beliau bukan sahaja dikenali sebagai pendamping setia Tun Dr Mahathir, malah turut meninggalkan jasa besar menerusi pelbagai usaha memperkasakan kesihatan ibu, kanak-kanak dan kesejahteraan masyarakat.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here