Pekerja kedai telefon bimbit dipenjara 30 tahun, 12 sebatan kes bunuh enam tahun lalu

MAHKAMAH Tinggi Muar hari ini menjatuhkan hukuman penjara 30 tahun dan 12 sebatan terhadap bekas pekerja kedai telefon bimbit selepas didapati bersalah membunuh seorang lelaki menggunakan besi dalam pergaduhan enam tahun lalu.

Hakim Datuk Meor Hashimi Abdul Hamid membuat keputusan itu pada akhir pembelaan selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah terhadap tertuduh, Lim Yew Lung, 32.

Ketika membaca keputusan ringkas di akhir pembelaan, Meor Hashimi berhujah, keputusan itu dibuat selepas mahkamah mempertimbangkan hujahan bertulis dan lisan daripada pihak pendakwaan serta pembelaan.

“Mahkamah turut mempertimbangkan dan membuat penilaian maksimum terhadap keterangan dan kredibiliti saksi-saksi pembelaan (SP) iaitu tertuduh (selaku SP1), SP2 dan SP3 mengikut kehendak 182 (a) Seksyen Kanun Prosedur Jenayah.

“Mahkamah berpuas hati melalui pembelaan tertuduh dan SP2 serta SP3, gagal membangkitkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.

“Pembelaan tertuduh, SP2 dan SP3 tidak boleh dipercayai atau tidak diterima oleh mahkamah ini. Malahan, pembelaan tertuduh dan keterangan SP2 serta SP3 juga gagal membangkitkan sebarang keraguan munasabah terhadap kes ini.

“Semua intipati atau elemen pertuduhan berjaya dibuktikan melampaui keraguan munasabah oleh pihak pendakwaan,” katanya, lapor Harian Metro.

Meor Hashimi berhujah, secara keseluruhan diakhir kes pembelaan, mahkamah berpuas hati dan mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah terhadap tertuduh.

“Oleh itu, tertuduh didapati bersalah dan disabitkan kesalahan dan mahkamah menjatuhkan hukuman penjara selama 30 tahun bermula tarikh tangkap (29 Januari 2020) serta 12 sebatan.

“Mahkamah memerintahkan semua eksibit kes ini diserahkan kepada pihak polis bagi tujuan pelupusan selepas tamat tempoh rayuan,” katanya.

Pada prosiding itu, pihak pendakwaan diketuai Timbalan Pendakwa Raya Othman Affan Ismail manakala tertuduh diwakili peguam R K Balakrishnan.

Mengikut pertuduhan, Yew Lung didakwa membunuh Tsun Chin Kiang, 43, di kedai menjual peralatan telefon di Jalan Perwira 1, Taman Perwira di Muar, antara jam 1.41 pagi dan 4.15 pagi, 29 Januari 2020.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Berdasarkan fakta kes, kejadian berlaku ketika mangsa berada di kedai telefon sebelum tercetus pergaduhan dengan tertuduh. Ini menyebabkan mangsa cedera parah dan dikejarkan ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru.

Namun, selepas empat hari menerima rawatan, mangsa disahkan meninggal dunia.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here