Jerebu: Sekolah di 5 negeri, KL, Putrajaya ditutup esok – Fadhlina

SEKOLAH di lima negeri dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur serta Putrajaya diarahkan tutup esok, susulan situasi jerebu yang melanda negara.

Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek berkata, penutupan itu membabitkan semua sekolah di Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Beliau berkata, di Pahang, penutupan hanya membabitkan daerah Rompin.

“Negeri lain pula beroperasi mengikut takwim persekolahan,” katanya dalam satu hantaran melalui media sosial beliau malam ini.

Semua institusi pendidikan di bawah Kementerian Pendidikan (KPM) di lima negeri serta Kuala Lumpur dan Putrajaya itu ditutup esok susulan keadaan jerebu yang menyebabkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) melepasi paras tidak sihat.

Semalam, kerajaan negeri Johor telah mengarahkan semua sekolah di negeri itu ditutup dua hari berikutan situasi jerebu yang semakin berbahaya.

Di Selangor, Pengarah Pendidikan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Selangor, Datin Wan Nor Ashikin Abu Kassim berkata, penutupan itu berkuat kuasa mulai 9 Oktober sehingga dimaklumkan semula oleh JPN Selangor.

Beliau berkata, semua sekolah dan institusi pendidikan di bawah JPN Selangor perlu melaksanakan Pengajaran dan Pembelajaran dari Rumah (PdPR) bagi memastikan kelangsungan pembelajaran murid.

“Guru dan Anggota Kumpulan Pelaksana (AKP) pula melaksanakan Bekerja Dari Rumah (BDR) sepanjang tempoh penutupan, tertakluk kepada arahan dan keperluan semasa,” katanya dalam makluman hari ini.

Sementara itu di Negeri Sembilan, Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan (JPNS) dalam kenyataan hari ini berkata, keputusan penutupan itu dibuat berdasarkan bacaan IPU di tiga stesen pemantauan iaitu Port Dickson, Seremban dan Nilai setakat jam 5 petang.

Menurutnya, ketetapan berkenaan turut selaras dengan arahan dan kenyataan KPM berkaitan situasi jerebu yang melanda negara.

Institusi pendidikan yang terjejas diarahkan melaksanakan Pengajaran dan Pembelajaran dari Rumah (PdPR) bagi memastikan proses pembelajaran murid dapat diteruskan.

“Pelaksanaan PdPR perlu mengambil kira kemampuan, akses dan keperluan murid serta kesiapsiagaan guru.

“Guru dan Anggota Kumpulan Pelaksana (AKP) turut dibenarkan bekerja dari rumah (BDR) sepanjang tempoh penutupan berdasarkan pertimbangan Menteri Pendidikan,” menurut kenyataan itu.

JPNS berkata, pihaknya bersama Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan institusi pendidikan akan terus memantau bacaan IPU serta mengambil tindakan berdasarkan perkembangan semasa dan ketetapan KPM.

Dalam pada itu di Melaka, JPN Melaka memaklumkan semua sekolah di bawah pentadbiran KPM di seluruh negeri itu turut ditutup pada 9 Oktober 2026.

Keputusan itu dibuat selepas pemantauan berterusan dan laporan rasmi Jabatan Alam Sekitar (JAS) mendapati bacaan IPU di beberapa kawasan utama Melaka melepasi 150, iaitu pada tahap tidak sihat.

JPN Melaka berkata, penutupan berkenaan merupakan langkah bagi melindungi kesihatan dan keselamatan murid, guru serta seluruh warga sekolah.

Jabatan itu bersama PPD Melaka Tengah, Jasin dan Alor Gajah akan terus memantau perkembangan jerebu dan sebarang perubahan berkaitan sesi persekolahan akan dimaklumkan menerusi saluran rasmi.

Ibu bapa dan penjaga turut dinasihatkan supaya sentiasa mengikuti perkembangan terkini serta mengutamakan kesihatan anak-anak sepanjang tempoh jerebu.

Di Putrajaya, Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Putrajaya (JPWPP) memaklumkan penutupan itu berdasarkan bacaan IPU di stesen pemantauan setakat jam 5 petang tadi.

“Institusi pendidikan yang terjejas hendaklah melaksanakan Pengajaran dan Pembelajaran dari Rumah (PdPR) bagi memastikan kelangsungan pembelajaran murid.

“Ia hendaklah mengambil kira kemampuan, akses dan keperluan murid serta kesiapsiagaan guru,” maklum JPWPP menerusi kenyataan malam ini.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here