
JABATAN Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) menggantung sementara tauliah mengajar agama kepada ahli politik atau calon pilihan raya sepanjang tempoh Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.
Pengarah JHEAINS, Datuk Mohd Asri Abdullah menerusi pekeliling bertarikh 20 Julai kepada pengerusi jawatankuasa kariah masjid, surau solat Jumaat dan surau di negeri ini.
“Ia bagi menjunjung Titah Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan,” katanya menambah penggantungan itu berkuat kuasa 18 Julai sehingga notis pemberitahuan baharu dikeluarkan Jabatan Mufti Negeri Sembilan.
Menurut Mohd Asri, kegagalan mematuhi arahan itu boleh menyebabkan tindakan lanjut diambil mengikut undang-undang yang berkuat kuasa serta syarat Tauliah Mengajar Agama Negeri Sembilan.
Surat berasingan yang ditandatangani Mufti Negeri Sembilan, Datuk Faudzinaim Badaruddin turut memaklumkan perkara sama.
“Penggantungan ini dibuat sebagai langkah menjaga kesucian institusi agama, memelihara keharmonian masyarakat. Ia juga bagi mengelak masjid, surau serta mana-mana premis pengajaran agama dijadikan medium yang boleh menimbulkan persepsi berpihak kepada mana-mana parti atau calon bertanding.
“Bersama-sama dengan surat ini disertakan senarai nama ahli politik atau calon PRN Negeri Sembilan Ke-16 yang digantung sementara tauliahnya untuk makluman dan tindakan selanjutnya,” katanya.
Sumber dalaman JHEAINS mengesahkan surat dan perkara itu dengan antara nama tersenarai adalah Setiausaha Politik Menteri Besar Negeri Sembilan yang juga calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Sikamat, Nor Azman Mohamad mewakili Pakatan Harapan (PH).
Selain itu, calon yang juga penyandang kerusi DUN Serting, Mohd Fairuz Mohd Isa (PN).






