JIM batal 1,306 PLKS palsu, buru semua penggunanya

JABATAN Imigresen Malaysia (JIM) akan membatalkan kesemua 1,306 Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) palsu yang diluluskan secara tidak sah, selain mengesan warga asing yang menggunakan dokumen berkenaan untuk bekerja di negara ini.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, pihaknya akan mengesan pemegang PLKS palsu yang dipercayai bekerja dalam pelbagai sektor sebelum tindakan penguatkuasaan diambil mengikut peruntukan undang-undang.

“Semua PLKS itu akan dibatalkan kerana tidak memberi hasil kepada kerajaan.

“Kita akan cari mereka yang ada PLKS palsu ini yang berkemungkinan bekerja di syarikat-syarikat di sini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media khas bersama Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Abd Halim Aman di ibu pejabat SPRM di Putrajaya hari ini, lapor Buletin TV3.

Zakaria berkata, siasatan awal mendapati sindiket berkenaan tidak mungkin dapat beroperasi tanpa penglibatan orang dalam yang mempunyai akses kepada sistem MyIMMs.

Katanya, kumpulan itu menggunakan perisian khas dan akses pentadbir sistem untuk mewujudkan identiti pengguna palsu sebelum meluluskan permohonan PLKS secara tidak sah.

“Modus operandi sindiket ini tidak mungkin berlaku tanpa penglibatan orang dalam.

“Mereka memasang dongle dan perisian pada komputer, kemudian menggunakan ID pentadbir untuk mewujudkan ID palsu bagi meluluskan PLKS palsu,” katanya.

Beliau berkata, JIM mula mengesan modus operandi sindiket itu sejak awal tahun ini sebelum menjalankan risikan dan siasatan lanjut bersama SPRM.

Katanya, hasil risikan yang dijalankan sejak Mei membawa kepada pelaksanaan Op Crack yang berjaya membongkar kegiatan sindiket berkenaan.

Beliau menegaskan JIM mengamalkan dasar sifar toleransi terhadap sebarang salah laku, penyelewengan dan rasuah, termasuk yang membabitkan pegawainya sendiri.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img