Kereta jatuh gaung, seorang maut, lima cedera

SEORANG lelaki maut manakala lima lagi cedera selepas kenderaan dinaiki mereka terbabas sebelum terjunam ke dalam gaung sedalam kira-kira tiga meter di Batu 21 (Kilometer 33.8), Jalan Tapah menghala Cameron Highlands malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 8.43 malam itu, mangsa yang maut adalah pemandu lelaki berusia 44 tahun yang disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, kemalangan melibatkan sebuah kenderaan jenis Perodua Aruz yang dinaiki enam individu.

Katanya, sebuah jentera masing-masing dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tapah dan Ringlet tiba di lokasi pada jam 9.48 malam sebelum mendapati kenderaan itu dalam keadaan terbalik di dalam sungai cetek.

“Lima mangsa yang cedera terdiri daripada seorang wanita dewasa, dua remaja perempuan berusia 19 dan 17 tahun serta dua kanak-kanak berusia sembilan dan enam tahun.

“Kesemua mangsa yang cedera telah dikeluarkan lebih awal oleh orang awam sebelum diserahkan kepada petugas perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk rawatan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, pemandu kenderaan dilaporkan tersepit dan anggota bomba bertindak mengeluarkan mangsa dengan mengaplikasikan kaedah penyelamatan SAVER.

“Mangsa yang tidak sedarkan diri berjaya dibawa keluar menggunakan pengusung sebelum disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan KKM di lokasi kejadian,” katanya.

Kesemua mangsa dipercayai dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Cameron Highlands bagi menziarahi ahli keluarga yang meninggal dunia.

Mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Tapah, manakala mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Operasi melibatkan 14 anggota bersama empat jentera termasuk dua Fire Rescue Tender (FRT), sebuah Rapid Rescue Vehicle (RRV) dan sebuah Emergency Medical Rescue Services (EMRS) tamat sepenuhnya pada jam 11.02 malam.

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img