JABATAN Imigresen Malaysia (JIM) membongkar kegiatan sindiket yang dipercayai menyalahgunakan kuota pengambilan pekerja asing untuk mengaut keuntungan menerusi operasi khas di sebuah premis perniagaan di Taman Datuk Ahmad Razali, Ampang, semalam.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, operasi yang dijalankan pada jam 7.30 pagi, membawa kepada penahanan 20 individu berusia antara 23 hingga 47 tahun.
“Mereka terdiri daripada dua lelaki warga Bangladesh yang disyaki pemilik dan pengurus perniagaan, enam pekerja wanita tempatan serta 12 pelanggan warga asing, termasuk sembilan lelaki Bangladesh dan tiga wanita Indonesia.
“Pasukan operasi turut menyita 265 pasport warga Bangladesh, 63 pasport warga Indonesia, 12 pasport warga Pakistan, dan senaskhah pasport warga India. Turut dirampas adalah wang tunai berjumlah RM6,700 yang dipercayai hasil bayaran daripada pelanggan.
“Siasatan awal mendapati sindiket ini menggunakan modus operandi yang dikenali sebagai Majikan ‘A to B’,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menerusi modus operandi itu, syarikat yang memperoleh kelulusan kuota akan membawa masuk pekerja asing menggunakan Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS), namun pekerja berkenaan tidak bekerja dengan syarikat terbabit, sebaliknya dibekalkan kepada syarikat lain untuk mendapatkan keuntungan.
JIM turut mendapati sindiket dipercayai mengemukakan maklumat yang tidak sepadan dengan profil sebenar syarikat bagi mendapatkan kelulusan kuota pekerja asing.
Katanya, kegiatan itu dipercayai mampu menjana keuntungan antara RM3,800 hingga RM5,000 bagi setiap pekerja.
“Syarikat terbabit dikesan mengisytiharkan keuntungan lebih rendah berbanding rekod kewangan sebenar bagi mengelak pembayaran cukai, manakala pemilik perniagaan didapati gagal melaporkan pendapatan peribadi bagi tahun taksiran 2020 hingga 2023.
“Pemilik, pengurus perniagaan dan pekerja tempatan disiasat mengikut Seksyen 56(1)(l) Akta Imigresen 1959/63 serta Seksyen 12(1)(f) Akta Pasport 1966,” katanya.
Sementara itu, 12 pelanggan warga asing disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.
Pemilik syarikat turut disiasat Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) mengikut Seksyen 112(3) dan Seksyen 113(2) Akta Cukai Pendapatan 1967 berhubung kegagalan melaporkan pendapatan serta pelaporan pendapatan tidak tepat.
JIM menegaskan tindakan penguatkuasaan akan diteruskan bagi membanteras kegiatan yang melanggar undang-undang, termasuk menyasarkan pihak yang merancang, mengurus dan meraih keuntungan daripada kegiatan berkenaan.





