JABATAN Imigresen Malaysia Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JIM WPKL) menjalankan semakan dan siasatan lanjut berhubung dakwaan penyelewengan dalam urusan pengeluaran Pas Khas di pejabat imigresen Kuala Lumpur.
Pengarah JIM WPKL, Datuk Hamsha Injau berkata, pihaknya mengambil maklum laporan media yang disiarkan portal Malaysiakini pada 17 Oktober 2026 berhubung dakwaan berkenaan.
Menurutnya, JIM WPKL memandang serius sebarang dakwaan salah laku, penyalahgunaan kuasa dan pelanggaran prosedur yang melibatkan pegawai serta urusan perkhidmatan imigresen.
“Semakan dan siasatan lanjut akan dilaksanakan melalui saluran yang berkenaan bagi memastikan setiap dakwaan diteliti secara menyeluruh, berlandaskan peruntukan undang-undang serta peraturan yang sedang berkuat kuasa.
“Bahagian Integriti JIM WPKL akan menjalankan siasatan bagi menentukan sama ada dakwaan tersebut benar-benar berlaku atau sebaliknya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, pihaknya tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pegawai atau pihak yang didapati terlibat dalam sebarang bentuk salah laku.
“Tindakan sewajarnya akan diambil sekiranya terdapat bukti pelanggaran undang-undang atau peraturan,” katanya.
Sehubungan itu, orang ramai turut dinasihatkan supaya berurusan melalui saluran rasmi Jabatan Imigresen Malaysia dan tidak menggunakan khidmat orang tengah yang tidak diberi kuasa.
JIM WPKL kekal komited memastikan penyampaian perkhidmatan yang berintegriti, telus dan profesional demi memelihara kepercayaan masyarakat terhadap jabatan.





