PENYANYI kumpulan rock Bumiputra Rockers, Joey, 63, meninggal dunia di Hospital Kuala Lumpur, hari ini.
Berita itu disampaikan oleh isterinya, Zarinah Zainal.
“Assalamualaikum. Saya, isteri kepada Johari Mat Rozekhi (Joey BPR) ingin memberitahu bawaha Johari telah kembali ke Rahmatullah pada 29 Ogos 2026, 8:11 pagi di HKL sebentar tadi. Sama-sama kita sedekahkan al-Fatihah kepada arwah,” katanya menerusi WhatsApp, lapor Harian Metro.
Katanya, Joey mengadakan persembahan di Laman Santai, Istana Budaya, Kuala Lumpur, semalam, dengan menyanyikan dua lagu sebelum rebah sebelum dibawa dengan ambulans ke HKL.
“Sampai di hospital doktor sahkan ada pendarahan. Dia juga ada komplikasi jantung tersumbat. Benda berlaku terlalu cepat. Joey sangat baik orangnya. Saya bertuah dapat dia. Harap sedekahkan al-Fatihah buatnya,” katanya.
Suara serak basah yang unik serta kelantangan vokal Allahyarham menjadi identiti utama kehebatan lagu-lagu BPR.





