Johari akan semak semula 17 perjanjian perdagangan bebas Malaysia

MENTERI Pelaburan, Perdagangan dan Industri Datuk Seri  Johari Abdul Ghani berkata beliau akan menyemak semula 17 perjanjian perdagangan bebas (FTA) Malaysia bagi memastikan perjanjian sedia ada memberikan hasil yang lebih kukuh.

Katanya, FTA tersebut merangkumi sembilan perjanjian pelbagai hala dan serantau serta lapan perjanjian dua hala, termasuk dengan Turki.

Portal FMT melaporkan, Johari berkata, beliau mahu meneliti sejauh mana Malaysia mendapat manfaat daripada perjanjian-perjanjian tersebut.

“Mengapa kita tidak melihat pelaburan atau perdagangan datang kepada kita, walaupun telah menandatangani FTA?” katanya kepada pemberita di Istanbul, sambil menambah bahawa adalah penting untuk bertemu dengan komuniti perniagaan bagi mendapatkan pemahaman yang lebih jelas mengenai isu yang mereka hadapi.

Beliau berkata Turki akan menjadi destinasi pertama dalam usaha semakan ini, diikuti negara rakan FTA yang lain.

Johari berkata Malaysia juga akan memastikan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) mendapat manfaat yang lebih langsung daripada FTA, dan tidak bergantung semata-mata kepada syarikat besar serta pelaburan asing.

Beliau berkata kerajaan mahu memastikan PKS tidak diketepikan apabila Malaysia berurusan dengan rakan FTA, dan semakan ini mesti diterjemahkan kepada akses pasaran yang lebih baik untuk perniagaan tempatan.

Johari berkata walaupun Malaysia terus mengalu-alukan syarikat multinasional besar serta teknologi maju seperti kecerdasan buatan (AI) dari negara maju, kekuatan sebenar negara terletak pada pembangunan PKS dan membantu mereka berkembang ke luar negara.

“Kekuatan kita ialah bagaimana kita membangunkan PKS dan membolehkan mereka memasuki semua negara FTA ini untuk mengembangkan pasaran mereka,” katanya.

Bulan lalu, Johari berkata perjanjian perdagangan negara dengan Amerika Syarikat mungkin akan disemak dan dirunding semula sekiranya mana-mana terma didapati tidak adil.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Whatapps Channel: UTUSAN MELAYU PLUS

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_imgspot_img