JOHOR perlu menjadi tiang seri kestabilan politik negara dan tapak penyatuan rakyat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini.
Malah Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Dr.Ahmad Zahid Hamidi menegaskan, ia juga akan menjadi isyarat jelas bahawa gelombang biru akan kembali ke seluruh negara.
Ketika berucap pada majlis pelancaran jentera BN Johor di Iskandar Puteri hari ini berkata, Johor perlu membuktikan bahawa BN masih menjadi sandaran rakyat Malaysia dan PRN kali ini mesti dijadikan medan kebangkitan semula parti itu.
Mengulas kedudukan BN di peringkat nasional, beliau mengakui sumbangan 30 kerusi Parlimen yang dimiliki BN tidak boleh dinafikan dalam pembentukan kerajaan Persekutuan.
Sehubungan itu, Ahmad Zahid mengingatkan seluruh jentera dan ahli parti supaya mengetepikan perbezaan serta tidak membesarkan pertikaian kecil yang boleh menjejaskan usaha meraih kemenangan.
“Kita tidak boleh bertelagah sehingga sengketa kecil menjadi besar. Lupakan soal calon. Sama ada menjadi calon atau tidak, calon kita hanya satu iaitu BN. Kita mesti bekerja sekuat-kuatnya demi Johor. BN mesti menang,” katanya.


