JABATAN Pengangkutan Jalan (JPJ) diarah menyaman sesiapa sahaja yang tidak memakai topi keledar ketika menunggang motosikal sewaktu berkempen pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, JPJ tidak boleh bersikap dwistandard dalam menguatkuasakan undang-undang terhadap mana-mana pihak termasuk mereka dari parti kerajaan.
Menurut beliau, Kementerian Pengangkutan (MoT) mengambil serius isu yang tular berkaitan sekumpulan petugas kempen Pakatan Harapan (PH) termasuk dari DAP, yang menunggang motosikal tanpa memakai topi keledar ketika kempen PRN Johor. Pendirian saya jelas dan konsisten sejak dahulu lagi.
“Ketika saya membangkitkan isu sama membabitkan pemimpin Barisan Nasional (BN) ketika kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Slim hampir enam tahun lalu, saya sudah tegaskan tidak salah menunggang motosikal semasa berkempen, tetapi setiap penunggang wajib memakai topi keledar dan menjadi contoh yang baik kepada rakyat.
“Prinsip ini terpakai kepada semua pihak tanpa pengecualian, termasuk calon dan petugas kempen PH. Undang-undang keselamatan jalan raya tidak mengenal parti politik. Saya sudah arahkan JPJ mengeluarkan saman kepada sesiapa sahaja yang didapati melanggar peraturan ini, berdasarkan bukti rakaman video yang tular, tanpa mengira latar belakang politik.
“Ini termasuk mereka yang terbabit dalam konvoi kempen PH di Johor. Undang-undang mesti dikuatkuasakan secara adil dan saksama kepada semua rakyat Malaysia.
“Saya tidak akan berkompromi dengan prinsip ini walaupun ia membabitkan rakan kempen sendiri. Keselamatan nyawa rakyat mengatasi kepentingan politik mana-mana pihak,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sebelum ini tular video dalam media sosial semalam memaparkan sekumpulan petugas kempen DAP menyertai konvoi motosikal PH, sebahagiannya tidak memakai topi keledar.
Berikutan itu, pengguna media sosial mendesak Anthony supaya mengambil tindakan.






