SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sedang mengesan seorang lelaki tempatan bagi sebutan kali kelima rayuan kes di Mahkamah Tinggi Ipoh, Perak pada Isnin, 13 Julai ini.
Suruhanjaya itu berkata, Megat Khairul Anuar Sulaiman, 40, yang dituduh mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009 sehingga kini gagal dihubungi.
Dalam kenyataan itu, SPRM berkata, usaha mengesan individu terbabit sudah dibuat di dua alamat terakhirnya di Batu 22½, Jalan Bagan Datoh, Selekoh, Perak dan Lot 841, Kampung Bunut Payong, Kota Bharu, Kelantan.
“Individu dikehendaki ini gagal hadir di Mahkamah Tinggi Ipoh bagi empat sebutan rayuan kes pada Januari, April, Mei dan Jun lalu serta waran tangkap terhadapnya sudah dikeluarkan pada 8 Jun lalu,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini.
Sehubungan itu SPRM meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai individu itu diminta menghubungi pegawai penyiasat, Hadijah Mohamad Shapiee di talian 011-3786 3375 atau talian 05-526 7000 (Pejabat SPRM Perak), atau e-mel kepada hadijah@sprm.gov.my.






