SEORANG suri rumah didakwa di Mahkamah Majistret Ipoh, hari ini atas pertuduhan membunuh ibunya di sebuah rumah di Menglembu, minggu lalu.
Tertuduh, Chew Loong Thye, 49, hanya mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan dalam bahasa Kantonis di hadapan Majistret Norizan Riduan, namun tiada pengakuan direkodkan.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa membunuh Ching Lai Kheng, 70, di sebuah rumah di Taman Wang, Menglembu dalam daerah Kinta antara jam 7.15 malam hingga 7.30 malam, 27 September lalu.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara antara 30 hingga 40 tahun dan sebatan tidak kurang 12 kali, jika tidak dijatuhi hukuman mati.
Timbalan Pendakwa Raya, Ainin Sofiya Azlaini memaklumkan laporan patologi dan toksikologi masih belum diperoleh selain tiada jaminan ditawarkan.
Tertuduh yang tidak diwakili peguam turut memaklumkan kepada mahkamah bahawa dia mengambil ubat psikiatri, lapor Sinar Harian.
Mahkamah kemudian memerintahkan tertuduh dirujuk kepada pakar bagi mendapatkan laporan psikiatri mengikut Seksyen 342 Kanun Prosedur Jenayah.
Sebutan semula kes ditetapkan pada 2 November depan bagi mendapatkan laporan berkenaan, termasuk laporan psikiatri.
Sebelum ini, media melaporkan laporan berhubung kejadian itu dibuat menantu mangsa sebelum suspek ditahan tidak lama selepas kejadian.
Mangsa yang terlantar difahamkan baru sahaja dibawa pulang dari sebuah pusat jagaan warga emas di Pusing untuk dijaga di rumah.





