JPN berkas 22 warga asing guna MyKad palsu dalam Op Getah

JABATAN Pendaftaran Negara (JPN) menahan sebanyak 22 warga Indonesia yang dikesan menggunakan MyKad palsu atau milik individu lain untuk bekerja dalam serbuan Op Getah di sebuah kilang berhampiran Pelabuhan Utara di Klang hari ini.

Pengarah Bahagian Penguatkuasaan JPN, Mazhad Abdul Aziz berkata, dalam serbuan itu, pihaknya telah memeriksa keseluruhan 74 individu termasuk 24 warga tempatan.

Menurutnya, risikan dijalankan selama sebulan bagi mendapatkan keberadaan orang yang disyaki terbabit sebelum serbuan dijalankan jam 3 petang ini bersama pegawai dan anggota JPN Putrajaya bersama Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan Jabatan Tenaga Kerja (JTK).

“Sebanyak 22 individu disyaki melakukan kesalahan berkaitan penggunaan MyKad palsu atau menggunakan kad pengenalan milik individu lain bagi tujuan pekerjaan terdiri daripada 21 wanita sebagai pekerja kilang dan seorang pengawal keselamatan lelaki kesemuanya warga Indonesia.

“Kes ini disiasat di bawah Peraturan 25(1)(e) Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990. Jika sabit kesalahan, individu terlibat boleh dikenakan hukuman penjara selama tiga tahun dan denda tidak melebihi RM20,000 atau kedua-duanya sekali,” katanya dalam sidang media di lokasi serbuan hari ini.

Mazhad berkata, siasatan lanjut akan dijalankan bagi mengenal pasti sumber warga asing terbabit memperoleh MyKad palsu atau MyKad milik orang lain untuk mencari kerja.

Tambah beliau, tindakan turut dikenakan ke atas pemilik asal MyKad terbabit sekiranya didapati bersalah dengan sengaja menyerahkan kad pengenalan diri mereka kepada orang lain untuk disalah guna.

“Semua pihak khususnya majikan perlu menyedari berhubung seriusnya isu penyalahgunaan MyKad ini. Ini juga tanggungjawab majikan, mereka kena pastikan identiti sebenar pemegang MyKad berkenaan.

“Biasanya kes-kes begini membabitkan pekerja melalui ejen jadi untuk memperbetulkan keadaan ini majikan perlu mendapatkan pengesahan kad pengenalan pekerja di JPN terdekat untuk membuat semakan,” katanya.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img