Nurul Izzah lepas jawatan untuk fokus pengajian lanjutan

NURUL Izzah Anwar memaklumkan keputusannya melepaskan jawatan Timbalan Presiden PKR dibuat selepas pertimbangan yang panjang bagi membolehkannya mengorak langkah baharu meneruskan pengajian lanjutan berteraskan khidmat dan bakti tanpa semestinya terikat dengan dunia politik.

Bekas Ahli Parlimen Permatang Pauh itu bagaimanapun berkata, keputusan itu tidak mengubah pendiriannya untuk terus kekal sebagai anggota PKR dan memberikan dokongan kepada perjuangan parti ke arah Malaysia yang lebih baik di bawah pimpinan Presiden, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama saf kepemimpinan serta akar umbi.

“Saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada seluruh anggota KEADILAN (PKR), pimpinan di setiap peringkat, sahabat seperjuangan dan setiap insan yang telah bersama saya dalam perjuangan ini.

“Terima kasih di atas kepercayaan, teguran, doa dan pengorbanan yang tidak pernah putus. Insya-Allah kita ketemu sewaktu Kongres Nasional PKR pada 14 dan 15 Ogos kelak,” katanya dalam hantaran di Facebook malam ini.

Nurul Izzah dalam pada itu turut mengucapkan penghargaan kepada Presiden berserta kepemimpinan parti kerana mengambil maklum akan keputusannya melepaskan jawatan sebagai Timbalan Presiden PKR.

“Alhamdulillah, saya mengucapkan sepenuh penghargaan kepada Datuk Seri Presiden berserta kepemimpinan parti kerana mengambil maklum akan keputusan saya melepaskan jawatan sebagai Timbalan Presiden PKR.

“Saya yakin Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail selaku Timbalan Presiden dan Datuk Seri Amirudin Shari selaku Pengarah Pilihan Raya akan melaksanakan amanah ini dengan penuh kebijaksanaan, hikmah dan ketekunan dalam menggalas harapan rakyat.

“Saya mendoakan agar setiap urusan mereka dipermudah dalam memikul tanggungjawab ini,” katanya.

Terdahulu, Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR memutuskan memberi cuti sementara kepada Nurul Izzah, bermula selepas Kongres Nasional 2026, selain melantik Saifuddin Nasution menjalankan tugas-tugas Timbalan Presiden secara sementara.

Ketua Penerangan PKR, Datuk Seri Fahmi Fadzil dilaporkan berkata, keputusan itu dibuat selepas MPP meneliti permohonan Nurul Izzah untuk mengundurkan diri daripada jawatan berkenaan serta mendengar pandangan beliau dan barisan kepemimpinan parti.

Katanya, selepas mendengar pandangan Nurul Izzah dan pimpinan, MPP bersetuju untuk memberi cuti sementara kepada Nurul Izzah bermula selepas Kongres Nasional 2026 sehingga satu tarikh yang akan diumumkan.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img