ENAM warga asing didenda selepas mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Balik Pulau, hari ini, atas pertuduhan terlibat dalam kegiatan pertaruhan bola sepak Piala Dunia FIFA 2026.
Tertuduh ialah empat lelaki warga China iaitu Yang Zhilong, Zhou Bao, Xu Kai dan Ma Jiahao serta dua wanita warga Myanmar, Khaing Moe Nwe dan Le Kyar Hkyan, berusia antara 23 hingga 31 tahun.
Majistret Chia Huey Ting menjatuhkan hukuman denda RM1,200 terhadap setiap tertuduh dan memerintahkan mereka dipenjara sebulan jika gagal membayar denda.
Mengikut pertuduhan, kesemua tertuduh didakwa secara bersama menjalankan kegiatan pertaruhan bagi perlawanan bola sepak Piala Dunia FIFA 2026 di sebuah kondominium di Persiaran Mahsuri, Sungai Nibong Kecil, Bayan Baru, kira-kira jam 6.45 petang pada 1 Julai lalu.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 6(1) Akta Pertaruhan 1953 yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.
Jika sabit kesalahan, mereka boleh didenda maksimum RM5,000 atau dipenjara sehingga enam bulan atau kedua-duanya sekali.
Berdasarkan fakta kes, semua tertuduh dipercayai terbabit dalam sindiket pertaruhan bola sepak Piala Dunia FIFA 2026 yang menyasarkan pelanggan dari China.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Ikmal Affandi Zulkifli, manakala semua tertuduh tidak diwakili peguam.
Terdahulu, semua tertuduh mengangguk tanda memahami pertuduhan dan fakta kes yang dibacakan jurubahasa mahkamah dalam bahasa Mandarin sebelum mengaku bersalah.
Dalam rayuan, mereka memohon dikenakan denda minimum, namun Ikmal memohon hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada tertuduh dan masyarakat.
Dalam prosiding berasingan, lima tertuduh kecuali Le Kyar turut mengaku bersalah atas pertuduhan gagal mengemukakan dokumen perjalanan sah untuk memasuki Malaysia mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.
Ikmal memaklumkan mahkamah bahawa semakan mendapati tiada rekod kemasukan mereka ke negara ini.
Mahkamah kemudian mendenda Ma Jiahao dan Khaing Moe Nwe masing-masing RM3,300 selepas mereka memaklumkan berada di Malaysia hampir sebulan.
Sementara itu, Zhilong, Bao dan Kai didenda RM3,000 setiap seorang selepas mengaku berada di negara ini selama kira-kira 20 hari.
“Kami masuk ke Malaysia bersama-sama menaiki penerbangan ke Kuala Lumpur sebelum meneruskan perjalanan darat ke Pulau Pinang,” kata Zhilong kepada mahkamah.
Mahkamah turut memerintahkan mereka dipenjara sebulan jika gagal menjelaskan denda.






