SEORANG jurukimpal maut selepas terjatuh ke dalam tangki air ketika menjalankan kerja-kerja pembaikan di sebuah sekolah berasrama di Parit hari ini.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 3.46 petang.
Beliau berkata, anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Parit tiba di lokasi kejadian tujuh minit kemudian.
“Mangsa, Muhammad Nazrin Yaakob, 34, ketika itu sedang melakukan kerja-kerja mengimpal di atas tangga di dalam tangki air sebelum terjatuh ke dalam tangki berkenaan.
“Anggota bomba masuk ke dalam tangki untuk menjalankan operasi menyelamat dan menggunakan tali penyelamat bagi membawa mangsa naik ke permukaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sabarodzi berkata, pegawai perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang berada di lokasi kemudian mengesahkan mangsa sudah meninggal dunia.
Beliau berkata, anggota bomba menggunakan sistem penurunan (lowering system) dan pengusung untuk membawa turun mangsa dari bahagian atas tangki air sebelum mayat diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.
Operasi tamat pada jam 4.50 petang, katanya.






