MCMC selesai 560 kes babit kesalahan kandungan memudaratkan tahun lalu

SURUHANJAYA Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menyelesaikan 560 kes atau 93 peratus daripada keseluruhan 607 kertas siasatan yang dibuka sepanjang tahun lepas melibatkan pelbagai kesalahan kandungan memudaratkan di ruang siber.

Kementerian Komunikasi memaklumkan, kesalahan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588] itu merangkumi kandungan lucah, sumbang, palsu, mengancam dan jelik melampau.

Daripada jumlah tersebut, kata kementerian itu, sebanyak 20 kes telah dihadapkan ke mahkamah dengan 12 daripadanya diputuskan oleh mahkamah dengan jumlah denda keseluruhan sebanyak RM230,000, manakala enam pesalah dijatuhi hukuman penjara antara enam hingga 10 bulan.

“MCMC turut menawarkan kompaun bagi 34 kes bernilai RM2.29 juta, mengeluarkan 119 Surat Amaran, manakala 47 kes masih dalam siasatan dan selebihnya diklasifikasikan sebagai tiada tindakan lanjut,” menurut kementerian itu dalam jawapan bertulis yang disiarkan di laman sesawang Parlimen, hari ini.

Ia bagi menjawab soalan Senator Datuk Wu Him Ven berhubung pecahan statistik penyiasatan, pertuduhan dan sabitan di bawah Seksyen 233 Akta 588 sepanjang tempoh Januari hingga Disember 2025 mengikut kategori kesalahan, khususnya yang melibatkan 3R (kaum, agama dan institusi diraja), buli siber, penyebaran maklumat palsu, kandungan lucah dan kandungan lain.

Bagi tempoh sama, MCMC menyiasat sebanyak 202 kes melibatkan kandungan memudaratkan berkaitan 3R di bawah Seksyen 233 Akta 588 dan daripada jumlah itu, 13 kes telah didakwa di mahkamah dengan sembilan kes diputuskan melibatkan jumlah denda RM180,000, manakala lima pesalah dijatuhi hukuman penjara.

Menurut kementerian itu, sehingga 30 Jun lepas, MCMC turut menawarkan kompaun bagi 10 kes berjumlah RM640,000 serta mengeluarkan 52 Surat Amaran, manakala lapan kes masih dalam siasatan dan selebihnya diklasifikasikan sebagai tiada tindakan lanjut.

Sementara itu, dalam jawapan berasingan kepada Senator Datuk Edward Linggu Bukut mengenai langkah memperkukuh keselamatan dalam talian melibatkan kanak-kanak, Kementerian Komunikasi memaklumkan hasil pelaksanaan Ops Pedo bagi membanteras bahan penganiayaan seksual kanak-kanak (CSAM) membawa kepada penahanan 31 suspek dan rampasan lebih 920,000 fail CSAM.

“Ops Pedo 1.0 pada Disember 2024 membawa kepada penahanan beberapa individu dengan rampasan lebih 40,000 fail CSAM. Seterusnya, Ops Pedo 2.0 pada September 2025 melibatkan 37 lokasi, membawa kepada penahanan 31 suspek serta rampasan lebih 880,000 fail CSAM.

“Daripada jumlah itu, sebanyak 17 suspek telah dituduh di mahkamah. Kejayaan ini membuktikan keberkesanan kerjasama rentas agensi dalam membanteras eksploitasi seksual kanak-kanak di ruang siber,” menurut jawapan berkenaan.

Kementerian Komunikasi memaklumkan tindakan itu turut disokong menerusi pemantauan proaktif MCMC, yang mengemukakan 78,741 permohonan penurunan kandungan memudaratkan sejak 2022 hingga 15 Julai lepas, dengan 79 peratus atau 61,887 kandungan berjaya diturunkan.

 

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img