CITY University Malaysia melakar sejarah apabila menjadi institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) pertama di negara ini yang melaksanakan Program Transformasi Kehidupan & Keusahawanan bersama Jabatan Penjara Malaysia di Penjara Bentong, Pahang hari ini.
Program ini bertujuan membuka lembaran baharu kepada para prospek di penjara itu di mana buat pertama kali mereka bukan dilihat sebagai individu yang pernah melakukan kesilapan, tetapi sebagai pelajar yang mempunyai potensi untuk bangkit semula melalui pendidikan.
Naib Canselor City University Malaysia, Prof Dr Rosnizah Shaari berkata, program ini memberi ruang kepada mereka untuk belajar, membina kemahiran baharu dan yang paling penting, mempercayai bahawa mereka masih mempunyai masa depan yang mampu diubah.
“Di sebalik tembok Penjara Bentong, lahir sebuah kisah yang membuktikan bahawa pendidikan mampu mengubah kehidupan. Bukan sekadar menyampaikan ilmu, malah mengembalikan keyakinan, harapan dan peluang kedua kepada mereka yang sedang berusaha membina masa depan yang lebih baik.
“Dengan semangat bahawa setiap insan berhak diberikan peluang kedua, City University Malaysia melaksanakan program ini dengan sokongan strategik Yayasan Taqwa Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP),” katanya dalam kenyataan hari ini.
Yang turut hadir, ProCanselor City University Malaysia, Datuk Mohamed Zaini Amran; Pengerusi Yayasan Taqwa-MAIWP, Datuk Mohamad S Ahmad dan Komisioner Jeneral Penjara Malaysia, Datuk Seri Abdul Aziz Abd Razak.

Dr Rosnizah berkata, program ini dibangunkan berteraskan enam komponen utama iaitu Pembangunan Diri, Pengurusan Kewangan, Komunikasi Profesional, Penjenamaan Produk, Keusahawanan Digital dan Perancangan Masa Depan.
“Melalui modul-modul ini, para prospek bukan sahaja dibimbing untuk memperoleh pengetahuan dan kemahiran baharu, malah dibentuk menjadi individu yang lebih berkeyakinan, berdisiplin serta bersedia untuk kembali menyumbang kepada keluarga dan masyarakat selepas dibebaskan,” jelas beliau.
Sepanjang program berlangsung, katanya, para prospek mengikuti sesi pembelajaran secara interaktif bersama pensyarah dan mentor City University Malaysia yang merangkumi pembangunan sahsiah, pengurusan kewangan, literasi digital, komunikasi profesional, asas keusahawanan, inovasi serta bimbingan berterusan.
Katanya, lebih daripada sekadar bilik kuliah, sesi-sesi ini menjadi ruang untuk mereka membina semula keyakinan diri, memperbaiki cara berfikir dan merancang kehidupan selepas pembebasan.
“Sebagai sebuah universiti, tanggungjawab kami bukan sekadar melahirkan graduan, tetapi menyentuh kehidupan manusia. Pendidikan mempunyai kuasa untuk mengubah seseorang.
“Apabila seseorang itu berubah, keluarganya akan berubah. Apabila keluarga berubah, masyarakat juga akan menjadi lebih baik. Itulah sebabnya City University Malaysia memilih untuk membawa pendidikan ke tempat yang paling memerlukan harapan,” jelasnya lagi.
Program ini merupakan sebahagian daripada komitmen University Social Responsibility (USR) City University Malaysia dalam memperluaskan akses kepada pendidikan berkualiti serta menyokong Matlamat Pembangunan Mampan (SDG 4 – Quality Education) dan SDG 10 (Reduced Inequalities).
Sementara itu, salah seorang prospek memberitahu, program ini membolehkannya mengubah cara hidup selama ini kea rah yang lebih baik.
“Sebelum ini saya fikir kehidupan saya sudah tiada masa depan. Saya malu untuk berhadapan dengan keluarga dan tidak tahu apa yang akan berlaku selepas saya keluar nanti.
“Hari ini saya sedar bahawa saya masih mempunyai peluang untuk berubah. Program ini memberi saya ilmu, keyakinan dan harapan. Saya mahu membuktikan kepada keluarga bahawa saya mampu menjadi insan yang lebih baik,” katanya.
Seorang ibu kepada salah seorang prospek pula berkata, program seperti ini bukan sahaja mengubah dirinya dan anaknya, malah mengembalikan harapan kepada seluruh keluarga.
“Sudah lama saya tidak melihat anak saya bercakap dengan penuh keyakinan seperti hari ini. Sebagai ibu bapa, tiada yang lebih kami harapkan selain melihat anak kami kembali menjadi insan yang baik. Kami kini lebih yakin bahawa dia mampu membina semula kehidupannya apabila dibebaskan nanti,” kata wanita itu.






