Jururawat warga Singapura maut terjatuh jejambat Tambak Johor

SEORANG jururawat lelaki warga Singapura maut apabila motosikal ditunggangnya terbabas lalu terjatuh dari jejambat setinggi kira-kira 10 meter di Jalan Tambak Johor, di Johor Bahru awal pagi kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 3.20 pagi itu, mangsa yang berusia 25 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi akibat parah di kepala serta beberapa anggota badan.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, hasil siasatan awal mendapati mangsa menunggang motosikal jenis Yamaha NMAX dari arah Bukit Chagar menuju ke Bangunan Sultan Iskandar.

Bagaimanapun, beliau berkata, mangsa dipercayai tersalah memasuki laluan kereta sebelum cuba berpatah balik dengan melawan arus.

“Namun setiba di lokasi kejadian, mangsa dipercayai hilang kawalan lalu terbabas ke sebelah kanan jalan sebelum melanggar tembok penghadang dan bergesel di kawasan selekoh tajam.

“Akibatnya, mangsa tercampak dari motosikal dan terjatuh dari jejambat setinggi kira-kira 10 meter ke atas laluan lori dari arah Singapura ke Malaysia.

“Mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian kepala, selain luka dan calar pada beberapa anggota badan,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, mayat mangsa dibawa ke Hospital Sultanah Aminah untuk bedah siasat dan kes ini disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Raub meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu untuk tampil di Balai Trafik Johor Bahru Selatan atau menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Dayang Aziemah Awang Sabeli di talian 017-306 4779 bagi membantu siasatan.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img