HASRAT seorang juruteknik wanita untuk mendapatkan sijil Badan Pengawas Obat dan Makanan (BPOM) bagi membolehkan produknya dipasarkan ke Indonesia berakhir dengan kerugian RM58,500 selepas dipercayai menjadi mangsa penipuan.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor berkata, mangsa membuat laporan polis pada jam 12.54 tengah hari semalam selepas menyedari dirinya diperdaya.
Menurutnya, mangsa mendakwa pada 23 Mac 2024 kira-kira jam 9 malam telah melihat iklan program ‘Jom Eksport Ke Indonesia’ menerusi Facebook menggunakan akaun Wan Muhd Ali sebelum menyertai kumpulan WhatsApp melalui pautan yang disediakan.
Katanya, mangsa kemudian berurusan dengan seorang wanita yang memperkenalkan dirinya sebagai Noor Feirouz.
“Pada 7 Mei 2024, mangsa menyertai satu taklimat secara dalam talian melalui aplikasi Zoom sebelum membuat keputusan menyertai program Trip Titian Muhibbah yang dijadual berlangsung pada 15 hingga 17 Mei 2024.
“Susulan itu, mangsa melakukan 10 transaksi secara dalam talian ke satu akaun sebagai bayaran bagi reruai pameran dan urusan mendapatkan sijil BPOM untuk produk yang ingin dipasarkan di Indonesia,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, keseluruhan kerugian dialami mangsa berjumlah RM58,500.
Menurutnya, mangsa mula mengesyaki ditipu apabila sijil BPOM yang dijanjikan gagal diperoleh walaupun semua bayaran telah dibuat.
Azli berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.
Untuk rekod, sijil BPOM ialah kelulusan yang dikeluarkan oleh Badan Pengawas Obat dan Makanan (BPOM), agensi kerajaan Indonesia yang berperanan hampir sama seperti Agensi Regulatori Farmasi Negara (NPRA) di Malaysia.






