NURUL Izzah Anwar berkata keputusan untuk melepaskan jawatan Timbalan Presiden PKR dibuat selepas pertimbangan panjang bagi memberikan tumpuan kepada pengajian lanjutan dan meneruskan khidmat kepada masyarakat yang tidak semestinya terikat dengan dunia politik.
Menerusi hantaran di Facebook malam tadi, Nurul Izzah berkata beliau akan terus kekal sebagai anggota PKR dan memberikan dukungan kepada perjuangan parti ke arah Malaysia yang lebih baik. Berikut kenyataan beliau:
Alhamdulillah, saya mengucapkan sepenuh penghargaan kepada YAB Dato’ Seri Presiden beserta kepimpinan parti kerana mengambil maklum akan keputusan saya melepaskan jawatan sebagai Timbalan Presiden KEADILAN.
Saya yakin Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, yang bakal merangkul tugasan Timbalan Presiden dan Dato’ Seri Amirudin Shari selaku Pengarah Pilihan Raya akan melaksanakan amanah ini dengan penuh kebijaksanaan, hikmah dan ketekunan dalam menggalas harapan rakyat. Saya mendoakan agar setiap urusan mereka dipermudah dalam memikul tanggungjawab ini.
Keputusan ini dibuat setelah pertimbangan yang panjang, untuk mengorak langkah baharu dalam meneruskan pengajian lanjutan yang berdiri di atas khidmat dan bakti, serta tidak semestinya terikat dengan dunia politik.
Saya akan terus kekal sebagai anggota KEADILAN, memberikan dokongan kepada perjuangan ke arah Malaysia yang lebih baik.
Kepada seluruh anggota KEADILAN, pimpinan di setiap peringkat, sahabat seperjuangan dan setiap insan yang telah bersama saya dalam perjuangan ini, saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan. Terima kasih di atas kepercayaan, teguran, doa dan pengorbanan yang tidak pernah putus.
Insya-Allah ketemu jua kita sewaktu Kongres Nasional KEADILAN pada 14-15 Ogos 2026 kelak.






