JURUTERBANG Malaysia yang ditahan didakwa menyeludup dadah ke Indonesia pada Rabu lalu, dipercayai mendapatkan dadah dari ibu negara, sebelum berlepas ke Kota Kinabalu dan Jakarta.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, suspek kemudiannya mendaftar masuk bagasinya pada awal pagi di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
“Suspek dipercayai ambil dadah dari sebuah apartment di Ampang, sebelum early check in bagasinya di KLIA. Dia kemudian ada flight ke Kota Kinabalu pagi itu, sebelum pulang semula ke KLIA dan berlepas ke Jakarta pada malam,” katanya pada sidang media di Ibupejabat Polis Selangor hari ini.
Beliau berkata, PDRM ketika ini sedang bekerjasama dengan Polis Republik Indonesia (POLRI) bagi siasatan lanjut mengenal pasti sindiket dadah berkenaan.
“Kita sedang menantikan perlepasan dengan pihak POLRI, tangkapan itu dibuat oleh pihak Kastam di lapangan terbang berkenaan, disiasat polis Indonesia. Bila masa sesuai untuk pegawai kita pergi dan temuduga.
“Pihak polis sedang melihat keseluruhan spektrum pengedaran ini, PDRM tengah melihat bagaimana dia mendapatkan bekalan dalam negara kita, dapat kenal pasti bekalan ini di Ampang dan kita dah dapat nombor telefon dihubungi dan sebagainya.
“Kedua dari aspek bagaimana dia boleh melepasi saringan keselamatan di pintu ke luar negara di KLIA. (Ada kaitan) dengan sindiket antarabangsa di Indonesia dan kita tengah kerjasama dengan POLRI, kita lihat keseluruhan spektrum untuk ambil tindakan lanjutan sindiket ini,”katanya.
Juruterbang Malaysia berusia 39 tahun itu ditahan Rabu lalu di Terminal 3, Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno Hatta, Jakarta, selepas petugas Kastam dan Cukai Indonesia mengesan objek mencurigakan dalam bagasi miliknya ketika pemeriksaan mesin pengimbas sinar-X di balai ketibaan antarabangsa.
Pemeriksaan lanjut menemukan 14 bungkusan besar mengandungi 70,114 pil ekstasi seberat 25.19 kilogram, selain satu bungkusan syabu seberat 2.75 gram dan sisa syabu seberat 0.08 gram dalam paip kaca.






