Kerajaan teliti cadangan kenakan caj atas setiap kenderaan EV

KERAJAAN sedang meneliti cadangan mengenakan caj ke atas setiap kenderaan elektrik (EV) yang dijual di negara ini bagi mewujudkan dana khas untuk memperluas rangkaian pengecas awam.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Johari Abdul Ghani Langkah itu bertujuan memastikan pertumbuhan penggunaan EV seiring dengan penyediaan kemudahan pengecasan.

Katanya, cadangan itu sedang dibincangkan bagi memastikan pembangunan ekosistem EV mampu memenuhi peningkatan permintaan pengguna.

“Kita perlu mencari mekanisme bagaimana untuk membangunkan pengecas awam ini. Mungkin setiap EV yang dijual di sini akan dikenakan satu caj untuk dimasukkan ke dalam satu tabung bagi membina pengecas awam,” katany ketika sesi soal jawab lisan di Dewan Negara, hari ini.

Johari berkata, Malaysia kini mempunyai lebih 1,000 pengecas awam, namun jumlah itu masih belum mencukupi, khususnya bagi menyokong perjalanan jarak jauh.

Beliau berkata, pembangunan infrastruktur pengecasan perlu dipercepatkan sekiranya EV mahu menjadi pilihan setanding kenderaan berenjin pembakaran dalaman yang ketika ini disokong oleh kira-kira 3,500 stesen minyak di seluruh negara.

‘’Kerajaan tidak bercadang melanjutkan pengecualian cukai bagi EV import sepenuhnya (CBU) selepas insentif selama empat tahun itu menyaksikan hasil cukai bernilai kira-kira RM3.3 bilion dilepaskan, namun pembangunan pengecas awam oleh pemain industri masih tidak memenuhi jangkaan,’’ katanya.

Bagaimanapun, katanya, insentif bagi EV pemasangan tempatan (CKD) akan diteruskan sehingga 31 Disember 2027, tertakluk kepada syarat yang ditetapkan kerajaan.

Mengenai pelaburan syarikat automotif China, BYD di Tanjung Malim, Johari berkata, kementerian beliau masih belum menerima sebarang maklumat rasmi berhubung status pelaburan berkenaan.

‘’Kerajaan akan terus memastikan setiap pelaburan baharu dalam sektor automotif memberikan nilai tambah kepada ekonomi negara menerusi pembangunan vendor tempatan, pemindahan teknologi, pewujudan peluang pekerjaan berkemahiran tinggi serta peningkatan aktiviti eksport,’’ katanya.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img