SEORANG jutawan warga China yang ditahan di Pattaya kerana memperoleh kewarganegaraan Thailand secara tidak sah, turut dikehendaki pihak berkuasa China berhubung kes serangan yang berlaku kira-kira tiga dekad lalu.
Zhishan Zhu ditahan di kediamannya di tambon Nong Prue, Sabtu lalu.
Menurut polis, lelaki itu dikehendaki di China atas tuduhan melakukan serangan di Taizhou, wilayah Zhejiang, pada 19 Januari 1990.
Suspek dipercayai melarikan diri dari China ke Thailand sebelum membayar rasuah sebanyak 50,000 baht (RM6,128) untuk mendapatkan kad pengenalan Thailand di daerah Phop Phra, Tak, lapor Bangkok Post.
Selepas memperoleh identiti sebagai lelaki Thailand dikenali sebagai Suchart, dia bekerja sebagai pemandu pelancong sebelum menjalankan perniagaan perkhidmatan pelancongan.
Dia kemudian berpindah ke Pattaya, berkahwin dengan seorang wanita warga China dan pasangan itu dikurniakan anak kembar yang memperoleh kewarganegaraan Thailand. Zhishan dipercayai menetap di Thailand lebih tiga dekad.
Menurut polis, dia memiliki 17 hartanah di Chon Buri yang keseluruhannya bernilai lebih 100 juta baht (RM12.5 juta), selain memiliki banyak kereta dan motosikal serta mempunyai kaitan dengan beberapa syarikat.
Kewarganegaraan Thailand dan pendaftaran kediamannya telah dibatalkan oleh pihak berkuasa.
Dua anaknya juga dijangka kehilangan kewarganegaraan Thailand, manakala Zhishan berdepan proses diekstradisi ke China untuk menghadapi pertuduhan terhadapnya.





