SELEPAS tercetus perbahasan panas di Dewan Rakyat, semalam, Kabinet hari ini memutuskan Ahli Parlimen Kota Bharu Datuk Seri Takiyuddin Hassan dirujuk kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan berhubung kenyataan beliau yang mengaitkan latihan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia dengan peristiwa Memali.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said, berkata keputusan itu dibuat bagi tujuan penelitian selanjutnya selaras dengan Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat.
“Sejajar dengan keputusan tersebut, usul yang telah dibentangkan di Dewan Rakyat akan disesuaikan bagi membolehkan perkara ini dirujuk secara rasmi kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan untuk dipertimbangkan mengikut aturan yang ditetapkan.
“Keputusan ini diambil setelah mengambil kira pandangan yang dibangkitkan semasa perbahasan dan untuk memastikan bahawa Ahli Parlimen juga diberikan ruang untuk didengar dalam Jawatankuasa Hak dan Kebebasan serta membolehkan sebarang dapatan dibuat Jawatankuasa tersebut yang mempunyai mandat khusus di bawah Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, kerajaan percaya Jawatankuasa Hak dan Kebebasan akan menjalankan penelitian dengan penuh tanggungjawab, kebebasan, dan integriti selaras peranan diamanahkan Parlimen.
“Kerajaan Madani juga kekal komited untuk memelihara kewibawaan Parlimen sebagai institusi tertinggi negara, di samping memastikan bahawa isu-isu berbangkit ditangani berlandaskan kerangka demokrasi berparlimen,” katanya.
Semalam, selepas melalui perbahasan yang dianggao tegang, Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seru Shamsul Anuar Nasarah, berkata permohonan untuk menangguhkan usul itu dibuat selepas mendengar hujah daripada Ahli Parlimen pembangkang dan kerajaan.
Sebelum penangguhan dibuat, seramai empat Ahli Parlimen berbahas usul menggantung Takiyuddin selama enam bulan. Mereka ialah Ketua Pembangkang Datuk Seri Hamzah Zainudin; Takiyuddin; Syahredzan Johan (PH-Bangi), dan Suhaizan Kaiat (PH-Pulai).
Takiyuddin, yang juga Ketua Whip Perikatan Nasional (PN) memohon supaya usul itu dipinda dengan merujuknya kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen.



